Oliver Bearman muncul juara F4 musim ini. FOTO Agensi
Oliver Bearman muncul juara F4 musim ini. FOTO Agensi
Agensi

Paris: Pemandu British, Oliver Bearman menyertai akademi pemandu remaja Ferrari selepas memenangi kejuaraan Formula 4 di Jerman dan Itali musim ini.

Bearman, 16, dari Chelmsford menyertai pasukan F1 Itali tersohor itu untuk mengikut jejak langkah Charles Leclerc, Jules Bianchi, Lance Stroll dan Mick Schumacher yang melakukannya sejak beberapa tahun lalu.

Bearman mencuri tumpuan ketika final pencarian bakat dunia Ferrari di Maranello bulan lalu berkata: "Saya sangat gembira kerana terpilih menyertai Akademi Pemandu Ferrari.

"Ia adalah cara terbaik untuk meneruskan saingan dalam perlumbaan pada musim hebat ini buat saya.

"Hanya meluangkan masa seminggu di Maranello ia pengalaman yang menakjubkan terutama dapat memandu di litar Fiorano.

"Kini saya tidak sabar lagi untuk mula bekerja di akademi dan menjadi sebahagian daripada keluarga Ferrari seterusnya bagaimana perkembangan masa depan saya dalam sukan ini."

Bearman merangkul kejuaraan ADAC Formula 4 di Jerman minggu lalu menamatkan saingan dengan mendahului 26 mata berbanding pelumba di tempat kedua.

Terdahulu dia turut memenangi kejuaraan F4 Itali dengan 11 kemenangan termasuk tujuh kali berturut-turut sekitar Misano, Vallelunga dan Imola.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 1:03 PM