RAMLI Juniit. - FOTO Nazri Abu Bakar
RAMLI Juniit. - FOTO Nazri Abu Bakar
Oleh Nazri Abu Bakar


Melaka: Bekas penyerang Olimpik 1980, Ramli Junit menganggap hilang tumpuan dan pembabitan menyeluruh pemain menjadi punca pasukan negara dibelasah 4-0 oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, kelmarin.

Katanya, fokus yang terjejas meletakkan lawan berjaya menjaringkan gol awal mereka pada babak pertama, sementara ia lebih teruk selepas UAE meledak tiga gol lagi pada babak kedua.

Menurutnya, pemain sepatutnya kental fokus kepada setiap pergerakan bola, lawan, rakan sendiri serta persekitaran ruang yang ada untuk menutup setiap gerakan penyerang UEA untuk membocori gawang pasukan.

Malah jika setiap penelitian dilakukan dengan betul serta bijak mengambil keputusan dengan segera dan tepat sudah pasti usaha menghalang jaringan lawan dapat dilakukan menerusi pencegahan lebih awal.

"Bagaimanapun, pemain dilihat tiada idea untuk membuat pergerakan yang bahaya dalam kawasan kotak lawan kerana sokongan tidak dapat diberikan sepenuhnya ketika melakukan setiap perencanaan.

"Kecergasan dalam tahap tinggi selain kekuatan mental yang tidak dapat diterjemahkan dengan berkualiti antara punca lawan mudah merobek gawang pasukan walaupun mereka dilihat tetap mencuba untuk menyaingi skuad tuan rumah,"katanya.

Ramli berkata, paling ketara dia melihat tiada semangat melawan yang kental selain ketiadaan pemimpin yang benar-benar memberi motivasi tinggi di dalam padang meletakkan pasukan gagal menyerlahkan prestasi yang diharapkan peminat.

Baginya, kurang pembabitan diri setiap individu pada setiap pergerakan juga menyebabkan usaha untuk membolosi gawang lawan semakin sukar dan mudah dipatahkan skuad lawan.

Justeru, pemain perlu kembali tampil dengan keazaman tinggi untuk aksi berikutnya selepas amat mengecewakan pada aksi berkenaan dengan pembabitan pergerakan secara maksimum mengikut situasi perlu dilakukan untuk setiap gerakan mahupun ketika melakukan halangan mampu ditampilkan dengan lebih berkualiti.

Sehubungan itu, mereka perlu memiliki disiplin yang lebih kental dengan mematuhi setiap perencanaan jurulatih selain dedikasi dan keazaman untuk mencapai kemenangan.

Berikutan itu, hubungan mesra di dalam dan luar padang harus terus diterapkan kerana ia penting untuk diterjemah dengan lebih berkesan pada aksi sebenar.

Dengan sinis Ramli berkata, pandangan dua sennya juga diharap mampu menjadi intipati kepada kejayaan Malaysia berdepan Vietnam selepas ini kerana hanya kemenangan sahaja yang boleh menghiburkan hati penyokong yang terlalu mengharapkan kejayaan Harimau Malaya.

Beliau berkata, kekalahan terbabit boleh dijadikan pengajaran bermakna dalam memastikan setiap pemain memiliki kesungguhan tinggi dan bekerjasama menutup ruang serta membuka peluang menjaringkan gol.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 2:45 PM