KAPTEN Melaka Safiq (kiri) menguasai bola ketika berdepan PJ City di Stadium Hang Jebat Paya Rumput. FOTO NAZRI ABU BAKAR
KAPTEN Melaka Safiq (kiri) menguasai bola ketika berdepan PJ City di Stadium Hang Jebat Paya Rumput. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar

Melaka: Gol minit akhir pemain gantian M Kogileswaran membantu PJ City mengikat Melaka 1-1 di Stadium Hang Jebat Paya Rumput malam tadi.

Bagaimanpun, aksi padang basah memperlihatkan pergerakan kedua-dua pasukan seakan sering tersekat dan kurang lancar namun tuan rumah memiliki sekurang kurangnya lima percubaan yang boleh menghadiahkan jaringan sepanjang 45 minit pertama.

Pelawat yang sesekali menyerang turut memiliki dua percubaan ke kubu skuad Hang Tuah, bagaimanapun ia juga tidak membuahkan hasil.

Berazam mencipta kemenangan kapten pasukan Safiq Rahim hampir merobek kubu lawan seawal minit ke-6 namun sepakannya berjaya diselamatkan penjaga gol, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi.

Selebihnya percubaan Shamim Yahya m-14 dan Wan Amirul Afiq (m-45) juga tersasar sementara penyerang pelawat Washington Brandao turut mencemaskan kubu Melaka pada minit ke-38 namun penjaga gol berpengalaman Khairul Fahmi Che Mat bertindak cemerlang menafikan percubaan terbabit.

Babak kedua menyaksikan tuan rumah terus menguasai permainan namun percubaan Sony Norde (m47 ) dan Safiq (m-49) gagal memecah kebuntuan.

Akhirnya pencarian gol buat anak buah jurulatih Zainal Abidin Hassan berhasil selepas Romel Morales berjaya menolak masuk hantaran lintang Wan Amirul Afiq pada minit ke-71 perlawanan.

Apapun, ketika tuan rumah hampir pasti meraih mata maksimum Kogileswaran berjaya menyamakan kedudukan pada m-90 untuk mengikat Melaka di bumi Hang Tuah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2020 @ 11:21 PM