AUBAMEYANG dijangka beraksi menentang Slavia Prague di tempat lawan.
AUBAMEYANG dijangka beraksi menentang Slavia Prague di tempat lawan.
Agensi

London: Arsenal mendapat khabar gembira menjelang aksi suku akhir kedua Liga Europa menentang Slavia Prague selepas beberapa tonggak termasuk Pierre-Emerick Aubameyang dan Bukayo Saka mungkin boleh diturunkan pada perlawanan di Eden Arena, Jumaat ini.

Aubameyang dijangka membarisi kesebelasan utama selepas tersisih ketika Gunners menang 3-0 di Sheffield United pada Ahad lalu akibat tidak sihat.

Manakala Saka masih lagi dipantau petugas perubatan kelab selepas dikeluarkan pada minit ke-69 di Bramall Lane tetapi menurut laporan media, Gunners yakin dia tidak mengalami kecederaan serius dan pemain berusia 19 tahun itu boleh beraksi di Republik Czech.

Gabriel Martinelli yang meledak gol kedua ketika menentang Blades hujung minggu lalu turut menceriakan pengendali, Mikel Arteta selepas mengesahkan dia cergas untuk beraksi.

Tetapi Arteta tetap menggesa pemainnya bekerja lebih keras jika mahu menjulang trofi dan mara ke Liga Juara-Juara musim depan.

Slavia pula berada di kemuncak prestasi selepas mengharungi 23 perlawanan tanpa kalah dan menyingkirkan Leicester City dan Rangers sebelum mara ke suku akhir manakala Arsenal tidak konsisten musim ini dan menduduki tangga kesembilan Liga Perdana dengan 10 mata di belakang slot Liga Juara-Juara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 April 2021 @ 10:48 AM