AUBAMEYANG lahirkan hasrat beraksi di Liga Juara-Juara. - FOTO Reuters
AUBAMEYANG lahirkan hasrat beraksi di Liga Juara-Juara. - FOTO Reuters
Agensi

ARSENAL berdepan tugas sukar bagi memastikan bintang mereka, Pierre-Emerick Aubameyang kekal bersama Gunners selepas pemain itu menyatakan hasrat untuk beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara sekali lagi.

Masa depan tidak menentu menghantui penyerang berusia 30 tahun itu di utara London susulan kemerosotan prestasi Arsenal sehingga menimbulkan keraguan terhadap pelan jangka panjang bersama kelab.

Menurut laporan The Telegraph, perpindahan pada musim panas boleh menjadi kenyataan buat Aubameyang yang berpindah dari Borussia Dortmund dengan harga £56 juta (RM300 juta) pada Januari 2018.

Dia diberi tugas memakai lilitan kapten dalam usaha memastikan bintang Gabon itu kekal komited bersama Arsenal dalam memulihkan kembali reputasi mereka musim ini. Dalam jangka masa pendek, penyerang itu setuju dengan komitmen sehingga tamat baki saingan musim ini.

Aubameyang mempunyai baki kontrak 18 bulan bersama Gunners dan mahu beraksi dalam Liga Juara-Juara musim depan tetapi prospek skuad Mikel Arteta berdepan gergasi Eropah lain tampak tipis sehingga memaksa kapten Arsenal itu mempertimbangkan pilihan lain.

Kekalahan kepada pencabar London, Chelsea menghumbankan mereka di tangga ke-12 Liga Perdana, 11 mata di belakang slot Liga Juara-Juara.

Bagaimanapun, masih ada harapan untuk Arsenal layak kejohanan elit menerusi Liga Europa dengan pertembungan pusingan 32 menentang Olympiacos berlangsung Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 11:19 AM