AUBAMEYANG meledak hatrik pertamanya musim ini untuk membantu Arsenal mengalahkan Leeds 4-2. FOTO AFP
AUBAMEYANG meledak hatrik pertamanya musim ini untuk membantu Arsenal mengalahkan Leeds 4-2. FOTO AFP

London: Pierre Emerick Aubameyang meledak hatrik untuk membantu Arsenal menumbangkan Leeds United 4-2 di Stadium Emirates.

Aubameyang yang tidak beraksi dalam kesebelasan utama hampir sebulan selepas perlu menjalani kuarantin kerana melawat ibunya yang kurang sihat.

Ketua pasukan Arsenal itu hanya meledak lima gol dalam saingan liga ketika kempen yang mengecewakan buat Gunners musim ini namun dia mengambil kesempatan di atas corak permainan terbuka Leeds untuk meledak hatrik pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Aubameyang membuka jaringan menerusi rembatan rendah di dalam petak penalti pada minit ke-13 dan menambah gol kedua menerusi sepakan penalti selepas Bukayo Saka dijatuhkan penjaga gol, Ilan Meslier di minit ke-41.

Arsenal mendahului 3-0 sebelum tamat separuh masa pertama apabila Hector Bellerin merembat dari jarak dekat.

Aubameyang melengkapkan hatrik dua minit selepas separuh masa kedua bersambung selepas menanduk masuk hantaran lintang Emile Smith Rowe.

Pasukan pelawat merapatkan jurang selepas sejam perlawanan berlangsung apabila Pascal Struijk menanduk masuk sepakan penjuru Raphinha.

Gol kedua Leeds hadir sembilan minit kemudian apabila Helder Costa menyudahkan hantaran Tyler Roberts.

Sementara itu, Everton terlepas peluang untuk mengutip mata sama dengan pasukan jiran, Liverpool yang berada di tangga keempat apabila tumpas 0-2 ketika berdepan Fulham.

Josh Maja meledak dua gol buat pasukan pelawat di Goodison Park bagi menamatkan kemarau Fulham selepas 12 perlawanan tanpa sebarang kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Februari 2021 @ 8:21 AM