Pemain Macedonia Utara meraikan kejayaan menewaskan Jerman. FOTO AFP
Pemain Macedonia Utara meraikan kejayaan menewaskan Jerman. FOTO AFP
AFP

Duisburg, Jerman: Aksi Jerman jelas dilabel 'memalukan' selepas mereka mengalami kekalahan pertama kelayakan Piala Dunia dalam tempoh 20 tahun apabila dikejutkan 1-2 kepada Macedonia Utara seterusnya menambah tekanan buat jurulatih, Joachim Loew.

"Ia kekecewaan yang sangat mendalam," kata Loew selepas perlawanan di Duisburg, pagi ini.

"Ini satu tamparan. Terlalu banyak kesilapan dan kami tidak mengambil peluang untuk menembusi pertahanan Macedonia Utara.

"Kami juga membenarkan mereka melakukan serangan balas dan tidak mempunyai cengkaman dalam perlawanan itu."

Pemain tengah Napoli, Eljif Elmas meledak gol kemenangan lima minit sebelum tamat selepas penalti disempurnakan Ilkay Gundogan memberi gol penyamaan buat Jerman susulan jaringan pembukaan penyerang berusia 37 tahun, Goran Pandev dalam babak pertama.

Kekalahan Jerman menarik perhatian ramai termasuk media Jerman.

"Sangat memalukan!" tajuk dipaparkan menerusi laman web Bild.

"Kekalahan mengejutkan" menurut majalah bola sepak Kicker sementara FAZ yang berpangkalan di Frankfurt menyifatkan "Kebangkitan yang memalukan buat skuad Jerman".

Juara dunia empat kali itu tidak pernah gagal untuk layak ke saingan kejohanan bola sepak terbesar, tapi tidak menyertai kejohanan tahunan pada 1930 dan digantung pada 1950.

Bagaimanapun, skuad kendalian Loew kini berada di kedudukan ketiga dalam carta Kumpulan J, tiga mata di belakang pendahulu Armenia dan di belakang Macedonia dengan perbezaan satu gol.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 8:33 AM