AKSI Ronaldo (dua kiri) pada perlawanan hari ini. FOTO AFP
AKSI Ronaldo (dua kiri) pada perlawanan hari ini. FOTO AFP
AFP

Turin: Juara Eropah, Portugal meraih kemenangan 1-0 ke atas Azerbaijan pada perlawanan pertama kempen kelayakan Piala Dunia 2022 hasil jaringan sendiri pemain lawan pada aksi Kumpulan A di Turin, hari ini.

Kapten Azerbaijan, Maksim Medvedev menjaringkan gol ke gawang sendiri minit ke-36 dan hanya gol itu menjadi penyelamat Portugal ketika bertemu lawan yang menduduki ranking ke-108 dunia.

"Tidak dinafikan kami berdepan kesukaran dan beberapa masalah," kata jurulatih Portugal, Fernando Santos selepas Portugal melakar kemenangan ke-50 sepanjang 80 perlawanan di bawah bimbingannya.

"Pada separuh masa kedua, pasukan tidak mempunyai inspirasi dan segala-galanya tidak berjalan dengan baik."

Cristiano Ronaldo gagal menjaringkan gol Stadium Juventus milik kelab diwakilinya selepas perlawanan itu terpaksa dilangsungkan di venue berkecuali berikutan sekatan perjalanan akibat pandemik Covid-19.

Ronaldo hanya kurang tujuh gol untuk menyamai rekod legenda Iran, Ali Daei selaku penjaring terbanyak sepanjang zaman di pentas antarabangsa dengan 109 gol.

Portugal bergelut kerana gagal melakukan penyudah yang baik, Azerbaijan bertahan dengan baik selain penjaga gol pelawat, Shakhrudin Magomedaliyev menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya.

"Sudah lama kami tidak beraksi bersama. Ia adalah sesuatu yang normal tetapi kami melakukan apa yang diharapkan oleh semua pihak.

"Kami menamatkan perlawanan dengan meraih kemenangan. Benar ia melalui jaringan sendiri lawan tetapi kami sepatutnya menang dengan jumlah jaringan lebih besar," kata Santos.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Mac 2021 @ 8:55 AM