PEMAIN Portugal Jose Fonte (kiri) cuba menghalang pertahanan  Switzerland  Silvan Widmer (kanan).
PEMAIN Portugal Jose Fonte (kiri) cuba menghalang pertahanan Switzerland Silvan Widmer (kanan).
AFP

Paris: Ketika kelibat Cristiano Ronaldo tidak kelihatan kerana kecederaan, juara Eropah Portugal memulakan kempen untuk layak ke Piala Dunia Russia 2018 dengan kekalahan mengecewakan 0-2 di tangan Switzerland, awal pagi semalam.

Gol dalam tempoh tujuh minit pada babak pertama menerusi pemain remaja sensasi Breel Embolo dan Admir Mehmedi memastikan kemenangan Switzerland di St Jakob-Park di Basel bagi permulaan cemerlang kelayakan Kumpulan B.

Naib juara Euro 2016, Perancis turut mempamerkan tanda keletihan apabila Les Bleus diikat 0-0 di Belarus dalam Kumpulan A manakala Belanda bangkit daripada ketinggalan sebelum seri 1-1 di Sweden.

Di Nicosia, perlawanan kompetitif pertama bekas bos Everton Roberto Martinez sebagai jurulatih Belgium berakhir dengan kemenangan 3-0 ke atas Cyprus.

Ronaldo seorang daripada tiga pemain Portugal yang beraksi ketika menang 1-0 selepas masa tambahan menentang Perancis pada 10 Julai lalu terkeluar dari senarai permulaan di Basel, dengan Renato Sanches turut diketepikan manakala Joao Mario sekadar di bangku simpanan.

Joao Moutinho dan Bernardo Silva tampil di samping penyerang Lille, Eder, pemain gantian yang menjaringkan gol kemenangan di Stade de France.

Namun anak buah Fernando Santos tiada jawapan kepada kehebatan lawan apabila Switzerland membuka tirai jaringan pada pertengahan babak pertama dengan penyerang Schalke Embolo menanduk masuk selepas penjaga gol Rui Patricio hanya mampu menumbuk lemah sepakan percuma Ricardo Rodriguez.

Switzerland menggandakan kedudukan selepas setengah jam apabila Haris Seferovic mengumpan kepada Mehmedi, yang menyentuh sekali sebelum merembat kencang ke gawang.

“Lawan menguasai 20 minit pertama namun selepas mereka menjaringkan gol, mereka menggunakan taktik yang sering digunakan Portugal dan bertahan dengan baik,” kata Santos.

“Saya pasti apabila kami mula menang ia akan menjurus kepada lebih banyak kemenangan. Saya yakin kami akan berada di Russia bagi Piala Dunia.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 7:58 AM