RONALDO diasak dua pemain Ukraine di Lisbon. - FOTO Agensi
RONALDO diasak dua pemain Ukraine di Lisbon. - FOTO Agensi
AFP

CRISTIANO Ronaldo yang pertama kali beraksi bersama Portugal dalam tempoh sembilan bulan gagal membantu pasukannya yang hanya mampu seri 0-0 menentang Ukraine dalam aksi pembukaan kelayakan Euro 2020 Kumpulan B di Lisbon, awal pagi tadi.

Ronaldo yang diberi tanggungjawab kapten oleh jurulatih Fernando Santos kembali beraksi sejak tamat Piala Dunia 2018 namun penyerang Juventus itu buntu menembusi benteng pelawat kendalian Andriy Shevchenko yang gagah bertahan.

Keputusan seri tanpa jaringan itu yang pertama buat skuad Santos dalam 19 perlawanan di tempat sendiri sekali gus menduduki tangga kedua dalam kumpulan di belakang Luxembourg yang menewaskan Lithuania 2-1.

"Kami tidak beraksi seperti biasa, kami bermula perlahan. Sepatutnya kami menekan mereka sejak awal permainan,” kata pemain tengah Manchester City, Bernardo Silva.

"Kami berusaha mencipta lebih peluang pada babak kedua tetapi turut gagal.”

Tandukan William Carvalho yang menerjah jaring pada minit ke-16 dibatalkan angkara ofsaid. Percubaan Ronaldo, Pepe dan Andre Silva hampir menjaringkan gol pendahuluan namun penjaga gol Ukraine, Andriy Pyatov terbukti cemerlang menghampakan setiap percubaan pemain tuan rumah.

Ronaldo yang tidak beraksi dalam enam perlawanan terakhir Portugal tampak mempunyai idea memecah kebuntuan jaringan namun dia tetap gagal membantu kemenangan pasukan.

Pelawat sebaliknya nyaris membawa pulang tiga mata pada lewat permainan jika tidak kerana kegopohan Junior Moraes di depan gol tuan rumah.

"Kami berjaya mengikut perancangan iaitu di bahagian pertahanan, 100 peratus. Kegagalan juara Eropah menembusi gawang kami di tempat mereka adalah keputusan yang hebat,” kata Shevchenko.

"Terdapat beberapa peringkat dalam perlawanan yang kami beraksi dengan sangat baik tetapi Portugal juga banyak menimbulkan masalah kepada kami.”

Portugal akan menentang Serbia di Lisbon pada awal pagi Selasa manakala Ukraine bakal berkunjung ke Luxembourg.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 8:17 AM