RONALDO dilihat membuka lilitan kapten dilengannya. FOTO EPA
RONALDO dilihat membuka lilitan kapten dilengannya. FOTO EPA
AFP

Paris: Cristiano Ronaldo mencampak lilitan kapten selepas berang dengan keputusan pengadil tidak mengesahkan golnya pada masa kecederaan bertemu Serbia di kempen kelayakan Piala Dunia, hari ini.

Portugal hanya sekadar seri 2-2 dengan Serbia di Belgrade di sebalik Ronaldo percaya dia menjaringkan gol kemenangan apabila bola dilihat sudah melepasi garisan gol sebelum Stefan Mitrovic mengeluarkannya.

Bagaimanapun dengan tiada sebarang teknologi digunakan, jaringan itu tidak dikira dan Ronaldo kemudian dilayangkan kad kuning kerana bertengkar dengan pengadil.

Selepas tamat perlawanan, Ronaldo dilihat mencampak lilitan kapten yang dipakai dilengannya.

"Saya sentiasa memberikan yang terbaik untuk negara saya. Ia tak akan pernah berubah," kata Ronaldo di akaun Instagram miliknya.

"Tetapi ada saat-saat sukar untuk ditangani, terutama apabila kita berasakan seluruh negara disakiti."

Jurulatih Portugal, Fernando Santos juga secara sinis mendakwa jaringan itu tidak disahkan meskipun bola sudah masuk ke gawang lawan.

Katanya, pada perlawanan di pentas tertinggi seperti itu, perkara berkenaan tidak mustahil boleh berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 12:58 PM