BIERHOFF yakin dengan perubahan besar-besaran mampu buat Jerman terus kekal kompetitif secara global. -Foto EPA
BIERHOFF yakin dengan perubahan besar-besaran mampu buat Jerman terus kekal kompetitif secara global. -Foto EPA

DUSSELDORF: Bola sepak Jerman memerlukan rombakan besar-besaran jika mahu kekal kompetitif secara global, kata pengurus pasukan juara dunia itu, Oliver Bierhoff menjelang aksi persahabatan dengan Sepanyol, minggu ini.

Selain Piala Dunia yang dimenangi pada 2014, Jerman turut menuai kejayaan pada Piala Konfederasi tahun lalu dan menjadi juara Eropah bawah 21 tahun.

Begitupun, Bierhoff berkata perubahan diperlukan bagi memastikan mereka kekal di puncak.

“Saya yakin kerja yang baik sedang dilakukan oleh bola sepak Jerman, kami adalah pemenang Piala Konfederasi, juara Eropah bawah 21 tahun tetapi kami tidak boleh hanya melihat kepada generasi ini,” kata Bierhoff yang juga bekas penyerang Jerman.

“Kami perlu melihat kepada pembangunan. Kamu tidak tidak perlu menjadi pakar untuk melihat yang kami memerlukan langkah yang besar. 

“Kami perlu melangkah bersama-sama. Kami perlu mampu untuk bertindak balas dengan pantas. Kami perlu memberikan jurulatih-jurulatih maklumat, garis panduan dan mata untuk bertindak balas terhadap sesuatu perkara.”

Komen Bierhoff selepas jurulatih Jerman, Joachim Loew berkata kelab-kelab di Bundesliga terlalu banyak mengajar pemain untuk ‘mengelak’ bola dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan apabila mereka menguasainya.

Dia memberi amaran betapa perkara itu boleh mengganggu prospek masa depan negara berkenaan ketika negara-negara lain sudah mula mengejar.

Jerman yang juga juara dunia empat kali merombak sistem latihan remaja mereka selepas mencatat keputusan mengecewakan pada Piala Dunia 1998 dan Euro 2000.

Sekitar AS$98 juta dolar (RM384.32 juta) dilaburkan setiap tahun yang disalurkan ke pusat latihan belia baru dan diwajibkan di kesemua kelab Bundesliga yang menyaksikan generasi pemain berbakat besar baharu berjaya dibentuk. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Mac 2018 @ 12:44 AM