VARDY (kanan) melepaskan rembatan pada minit ke-84 untuk menjaringkan gol penyamaan buat Leicester.
VARDY (kanan) melepaskan rembatan pada minit ke-84 untuk menjaringkan gol penyamaan buat Leicester.
AFP

PENGURUS Leicester, Brendan Rodgers terpaksa mengharapkan jaringan penyamaan Jamie Vardy pada lewat permainan untuk menyelamatkan mereka dengan mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Arsenal awal pagi tadi.

Leicester dalam usaha untuk mengekalkan diri mereka berada di kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL) seterusnya layak ke Liga Juara-Juara.

Mereka hanya mencatat satu kemenangan daripada enam perlawanan sejak saingan disambung semula bulan lalu tapi mereka berjaya menggunakan kesempatan layangan kad merah Eddie Nketiah ketika permainan berbaki 15 minit di Emirates.

Jaringan Pierre Emerick Aubameyang membolehkan The Gunners berada di depan pada separuh masa pertama namun ketangkasan Kasper Schmeichel berjaya mengekang Arsenal daripada menambah jaringan.

Selepas Nketiah dilayangkan kad merah, Vardy berjaya menyumbat gol penyamaan hasil hantaran lintang, Demerai Gray untuk membolehkan mereka mendahului empat mata mengatasi pasukan tangga kelima Manchester United.

"Saya rasa ia sangat penting buat kami. Pada separuh masa kedua kami berjaya beraksi dengan baik. Kami lebih pantas dari segi permainan dan ketika aksi 11 menentang 11 kami ternyata lebih baik.

"Saya berasa sangat gembira dengan bagaimana kami mengambil kesempatan selepas mereka beraksi dengan 10 pemain. Kami berhak meraih jaringan dan jika kami berjaya memegang bola pada saat akhir, kami mampu menguasai permainan dan mencatat kemenangan," kata Rodgers.

Peluang Arsenal untuk mengejar kedudukan empat terbaik dilihat musnah selepas mereka kekal enam mata ketinggalan di tangga ketujuh.

Bagaimanapun, selepas permulaan lemah sebaik liga bersambung dengan dua kekalahan berturut-turut kepada Brighton, skuad bimbingan Mikel Arteta dilihat kembali pada tahap terbaik.

"Kami kehilangan dua mata hari ini dan bagi saya kami memang berhak meraihnya. Anda dapat lihat sendiri usaha, intensiti dan keinginan pemain. Saya sangat bangga dengan mereka. Anda harus belajar, ketika beraksi dengan pasukan lawan seperti ini anda harus terus membunuh mereka," kata Arteta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 7:42 AM