Pemain Manchester City, Raheem Sterling (tiga kiri) meraikan jaringannya ketika menewaskan Leicester. FOTO EPA
Pemain Manchester City, Raheem Sterling (tiga kiri) meraikan jaringannya ketika menewaskan Leicester. FOTO EPA
AFP

London: Manchester City mendahului dengan enam mata di kedudukan teratas carta Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas membenam Leicester 6-3 sementara Chelsea kembali di landasan terbaik dengan kemenangan 3-1 di Aston Villa, awal pagi ini.

Tiga daripada perlawanan Hari Boxing terpaksa ditunda akibat Covid-19 dengan Britain kembali bergelut menangani lonjakan kes kerana varian Omicron.

Awal minggu ini, kelab EPL menolak cadangan untuk menghentikan sementara liga bagi memutuskan rantaian jangkitan.

Penangguhan liga dilihat sebagai satu-satunya jalan untuk memperlahankan pemburuan gelaran keempat dalam lima musim City di mana anak buah Pep Guardiola kini memenangi sembilan perlawanan liga berturut-turut.

Leicester dikejutkan dengan empat gol dalam masa 25 minit. Kevin De Bruyne meledak gol pembukaan tuan rumah sebelum Riyad Mahrez menambah jaringan berdepan bekas kelabnya selepas menyempurnakan sepakan penalti.

Ilkay Gundogan menjadikan kedudukan 3-0 sebelum Raheem Sterling mendapatkan penalti kedua dan menyempurnakan jaringan buat penyandang juara liga itu.

Leicester bangkit di babak kedua dengan James Maddison membuka jaringan sebelum mencetus serangan balas yang disudahkan Ademola Lookman.

Kelechi Iheanacho menjadikan kedudukan 3-4 selepas memanfaatkan percubaan Maddison yang ditepis Ederson tetapi sekadar terkena palang.

Bagaimanapun, City kembali melebarkan jurang dan memastikan tiga mata menerusi jaringan Aymeric Laporte dan Sterling.

"Ia seperti roller coaster," kata Guardiola.

"Inilah lumrah perlawanan Hari Boxing, banyak gol. Ia menghiburkan semua orang.

"Ketika kedudukan 4-0 dan kami terus mencipta gerakan, tetapi setiap kali apabila mendapat bola berhampiran kawasan gol mereka akan memanfaatkan peluang. Perlawanan agak seimbang."

Penyerang Chelsea, Romelu Lukaku (kanan) menajringkan salah satu gol ketika berdepan Aston Villa. FOTO AFP
Penyerang Chelsea, Romelu Lukaku (kanan) menajringkan salah satu gol ketika berdepan Aston Villa. FOTO AFP

Dalam pada itu, Chelsea bangkit daripada ketinggalan ketika Villa beraksi tanpa pengendali mereka Steven Gerrard yang disahkan positif Covid-19.

Berdepan masalah kecederaan dan Covid menyebabkan Chelsea terpaksa melepaskan kedudukan di puncak liga dengan aksi menurun sebelum Krismas.

Mereka berdepan masalah lagi apabila Reece James menanduk ke jaring sendiri berpunca daripada hantaran Matt Targett pada minit ke-28.

Namun Jorginho berjaya menyamakan kedudukan enam minit kemudian menerusi penalti selepas Matt Cash mengasari Callum Hudson-Odoi.

Romelu Lukaku dimasukkan dari bangku simpanan pada separuh masa kedua dan pada minit ke-65 penyerang Belgium itu meledak jaringan yang merupakan gol keenam bersama Chelsea sejak menyertai kelab itu dari Inter Milan.

Lukaku berjaya memperoleh penalti pada masa kecederaan selepas dikasari Ezri Konsa dan Jorginho sekali lagi tidak berdepan masalah melaksanakan tugas itu.

Keputusan Liga Perdana Inggeris:

Aston Villa 1 (James 28-gs) Chelsea 3 (Jorginho 34-pen, 90-pen, Lukaku 56)

Brighton 2 (Trossard 34, Maupay 42) Brentford 0

Manchester City 6 (De Bruyne 5, Mahrez 14-pen, Gundogan 21, Sterling 25-pen, 87, Laporte 69) Leicester 3 (Maddison 55, Lookman 59, Iheanacho 65)

Norwich 0 Arsenal 5 (Saka 6, 67, Tierney 44, Lacazette 84-pen, Smith Rowe 90)

Tottenham 3 (Kane 32, Moura 34, Son 74) Crystal Palace 0

West Ham 2 (Antonio 49, Benrahma 64) Southampton 3 (Elyounoussi 8, Ward-Prowse 61-pen, Bednarek 70)

Ditunda kerana Covid-19

Burnley mln Everton, Liverpool mln Leeds, Wolves mln Watford

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Disember 2021 @ 7:58 AM