JURUCAKAP GULM Mohd Safarizal yang mewakili 25 kelab penyokong Kedah. FOTO IZZALI ISMAIL
JURUCAKAP GULM Mohd Safarizal yang mewakili 25 kelab penyokong Kedah. FOTO IZZALI ISMAIL
Izzali Ismail


Alor Setar: Kelab Penyokong Kedah melalui Gabungan Ukhwah Lang Merah (GULM) berharap bekalan semangat yang dibekalkan buat skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mampu mencapai misi kemenangan pada perlawanan sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah.

Ia adalah pembukaan untuk aksi Liga Malaysia (Liga M) musim ini yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri esok.

Jurucakapnya Mohd Safarizal Mohd Sobri yang mewakili 25 kelab penyokong Kedah berkata, semangat untuk mencapai kemenangan pertama musim ini amat diperlukan KDA FC dalam memulakan langkah positif pada musim 2021 dan sekali gus bonus tambahan membawa pulang kembali piala berprestij itu.

"Perkara paling penting adalah kemenangan dan mendapatkan tiga mata berharga di tempat lawan sebagai langkah permulaan yang baik dan positif pada tahun 2021 ini.

"Kami kelab penyokong, sentiasa membekalkan semangat berterusan buat pasukan dan tidak mengharapkan apa apa 'balasan' atau ganjaran, sebaliknya sebagai penyokong setia Hijau Kuning, cukuplah kami dihadiahkan dengan kemenangan dan membawa pulang piala itu selepas kali terakhir melihat piala itu di depan mata empat tahun lalu.

"Inilah bekalan semangat yang kami tiupkan selama ini untuk semua pemain KDA FC agar sentiasa berjuang berhabis-habisan dalam memburu kejayaan yang diidamkan," katanya.

Safarizal juga berkata walaupun kehadiran penyokong belum dibenarkan masuk memberi sokongan di dalam stadium buat masa ini, pihaknya yakin dengan semangat yang dibekalkan penyokong, pemain mampu menyerap semangat berkenaan seolah-olah penyokong sentiasa bersama mereka sepanjang perlawanan.

"Kepada pasukan Kedah, walaupun anda bermain dalam stadium tanpa penyokong, namun anda tidak perlu bimbang kerana anda tidak 'bersendirian', kerana penyokong Kedah tetap 'ada' di mana-mana sahaja dan kami sentiasa berdoa dari kejauhan.

"Berjuanglah demi lencana di dada, demi negeri Kedah dan demi semua penyokong yang mengharapkan kejayaan pada musim ini dan kami mengharapkan mereka melangkah dengan penuh harapan, dan pulang membawa kejayaan.. Pulun Kedah Pulun.." katanya.

Perlawanan bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah ini bakal menemukan juara Liga Super 2020 Johor Darul Ta'zim (JDT) dan KDA FC yang menduduki tempat kedua Liga Super akan menyaksikan pertembungan kali keempat buat kedua-dua pasukan dalam lima edisi, sejak musim 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 2:26 PM