SEKURANG-kurangnya 20 buah bas penyokong Kedah sedang menantikan jawapan rayuan terhadap tambahan 500 tiket. FOTO NSTP
SEKURANG-kurangnya 20 buah bas penyokong Kedah sedang menantikan jawapan rayuan terhadap tambahan 500 tiket. FOTO NSTP
Izzali Ismail


PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) masih mengharap ruang pertimbangan daripada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) berkaitan tambahan kuota 500 tiket menjadikan jumlah 1,000 tiket keseluruhan bagi penyokong Kedah untuk meyaksikan perlawanan Piala Sumbangsih yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Jumaat ini.

Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris memaklumkan, harapan tinggi oleh pihaknya masih kekal walaupun sudah mendapat maklum balas daripada JDT dimana Kedah dibekalkan sebanyak 500 tiket sahaja berdasarkan kuota yang sudah digariskan Malaysia Football League (MFL).

“Kami masih mengharap, saya cuma kesiankan penyokong Kedah yang sangat berharap untuk berkunjung ke stadium baharu JDT dimana kalau diikutkan permintaan sebenar kita perlukan 2,000 tiket tapi jika dapat kuota 1,000 tiket (tambahan 500) pun kita tetap bersyukur.

“Impian penyokong Kedah adalah untuk melihat sendiri kehebatan Stadium Sultan Ibrahim yang baru dirasmikan dengan gilang-gemilang semalam dan disamping itu wujud semangat kesukanan yang sangat tinggi dalam kalangan penyokong Kedah.

“Selain teruja, kami juga ingin bersama-sama penyokong JDT untuk memeriahkan lagi stadium bertaraf dunia ini dalam perlawananan pembukaan terhebat musim ini dimana kedua-dua pasukan yang sama-sama membawa nama Malaysia dalam kejuaraan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini.

“Jadi biarlah sama-sama kita beramai-ramai menghangatkan suasana bola sepak di negara kita.” katanya.

Sementara itu, jurucakap kelab penyokong Kedah melalui Gabungan Ukhwah Lang Merah (GULM) Safarizal Sobri turut berharap JDT membuka ruang bagi mempertimbangkan permohonan tambahan iaitu 500 keping tiket lagi yang dibuat oleh Persatuan Bolasepak Kedah KFA sebelum ini.

“Kami mewakili kelab-kelab penyokong, memohon agar pihak JDT dapat mempertimbangkan hasrat kami untuk mendapatkan kuota tambahan tiket agar hasrat kami ke Johor menjadi kenyataan.

“Kami sedar dan tidak mempertikaikan peraturan MFL yang menetapkan jumlah cuma 500 tiket yang dihadkan kepada stadium berkapasiti 20,000 hingga 40,000, namun kami juga sangat mengharapkan kuasa serta budi bicara oleh JDT untuk menambah peruntukan ini memandangkan ini stadium baharu.

“Kami juga turut tidak ‘menang tangan’ untuk menjawab pertanyaan dari kelab-kelab penyokong dibawah GULM yang mahu menyertai rombongan ke Johor Jumaat ini dan anggaran dipihak kami sahaja melalui 25 kelab penyokong, sekurang-kurangnya 20 buah bas sedang menantikan jawapan rayuan terhadap tambahan 500 tiket yang dibuat ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Februari 2020 @ 6:06 PM