BADDROL Bakhtiar (tengah) tonggak utama KDA FC. FOTO Aizuddin Saad
BADDROL Bakhtiar (tengah) tonggak utama KDA FC. FOTO Aizuddin Saad
Izzali Ismail


Alor Setar: Kapten Kedah Darul Aman FC (KDA FC) Baddrol Bakhtiar mahu setiap pemain turun dengan motivasi cukup tinggi apabila melayan kunjungan Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darul Aman, malam esok.

Perlawanan yang diibaratkan seperti ulangan final Piala Malaysia 2019 itu menyaksikan dua pasukan teratas Liga Super musim 2021 itu berentap lagi untuk membuktikan kemampuan masing-masing.

Baddrol berkata, Kedah pasti berusaha untuk bangkit selepas gagal meraih kemenangan pada dua aksi menentang skuad Harimau Selatan musim ini.

"Saya mengharapkan motivasi yang tinggi dapat ditunjukkan oleh semua pemain apabila menentang JDT yang juga juara Piala Malaysia 2019.

"Kami akui JDT adalah pasukan serba lengkap dan hebat di Liga Malaysia, namun saya berharap kami dapat memberikan komitmen tinggi dalam memburu kejayaan," katanya.

Baddrol juga mengharapkan sokongan padu kira-kira 10,000 penyokong Kedah yang dijangka hadir ke stadium.

"Walaupun tidak seramai seperti musim-musim terdahulu, namun sorakan dan laungan untuk menyemarakkan semangat Kedah tetap bergema dan itu akan menyuntik motivasi kami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 2:57 PM