Ataya (tiga dari kiri) bersama peminat Kedah. FOTO Izzali Ismail
Ataya (tiga dari kiri) bersama peminat Kedah. FOTO Izzali Ismail
Izzali Ismail


Alor Setar: Harapan peminat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk melihat pemain import baharu, Rabih Ataya beraksi bersama skuad itu bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) dan pentas AFC musim depan hampir menjadi kenyataan apabila pemain itu tiba di Kedah petang ini.

Ketibaan pemain import kuota Asia di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar jam 2.30 petang bersama isteri dan dua anaknya disambut oleh beberapa penyokong yang hadir memberi semangat buat pemain itu.

Ataya yang juga pemain kebangsaan Lubnan dan bekas tonggak import UiTM FC, difahamkan diikat KDA FC pada November lalu.

"Kedah adalah antara pasukan yang kuat dalam saingan musim depan. Saya berharap dapat memberi aksi terbaik dan mahu meraih kejuaraan bersama pasukan ini.

"Saya kini bersedia memulakan latihan selepas dua bulan berehat dan esok saya akan menjalani latihan. Pulun Kedah Pulun." katanya.

Ataya mula mencipta nama ketika menyertai Ansar FC dari 2008 hingga 2016 dan ketika bersama kelab di Beirut itu, beliau melakukan 88 penampilan di Liga Perdana Lubnan (LPL) dan merekodkan 20 gol selain membantu pasukannya dalam saingan Piala AFC pada 2013.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali berkata kewibawaan dan kemampuan yang ditunjukkan pemain itu memikat hati Kedah untuk rancangan persiapan musim baharu.

"Kita harap beliau mampu menjadi antara 'jeneral' yang diperlukan Kedah untuk menguatkan ruang tengah serta serangan Kedah berbanding musim lalu." katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2021 @ 6:14 PM