BARISAN pemain KDA FC ketika bertemu JDT pada perlawanan Piala Sumbangsih. FOTO KDA FC
BARISAN pemain KDA FC ketika bertemu JDT pada perlawanan Piala Sumbangsih. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kelab Penyokong Kedah Darul Aman (KEPDA) yakin pasukan kesayangan mereka akan bangkit apabila melayan kunjungan Sabah FC dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman malam ini.

Presiden Kelab KEPDA Nor Hasmadi Hamzah berkata, pihaknya meramalkan taktikal berbeza mungkin akan ditampilkan Kedah Darul Aman (KDA) FC yang berhasrat mencari kemenangan selepas tewas kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi pertama.

"Kami yakin Kedah akan turun dengan objektif kemenangan dan sekali gus memadam kesedihan penyokong selepas kekalahan di Stadium Sultan Ibrahim jumaat lalu.

"Semangat kami tetap kekal utuh bersama pasukan Kedah dan pastinya semua pemain juga mahu bangkit membuktikan kemenangan pertama tercipta di laman sendiri malam ini.

"Melihat pada skop perlawanan pertama sahaja tidak mencerminkan keupayaan sebenar Kedah musim ini, jadi inilah masanya di mana Kedah dapat membuktikan keupayaannya kepada penyokong yang mengharapkan sentuhan sebenar," katanya.

Hasmadi juga kesal apabila ada segelintir penyokong yang beranggapan negatif terhadap mutu permainan Kedah pada musim ini selepas kekalahan itu yang meletakkan Kedah di tangga tercorot liga.

"Usah kita menilai prestasi Kedah hanya dalam satu perlawanan selepas tewas 0-2 kepada JDT, sebaliknya penyokong perlu lebih bersabar menanti aksi sebenar Kedah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mac 2021 @ 2:11 PM