SYAFIQ ketika menyarung jersi Kedah.
SYAFIQ ketika menyarung jersi Kedah.
Izzali Ismail

Alor Setar: Desas desus penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) Syafiq Ahmad yang kemungkinan dipinjamkan ke sebuah pasukan Liga Super menjelang tempoh jendela perpindahan kedua pada Julai depan mendapat reaksi positif dalam kalangan penyokong Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Menurut Pengerusi Kelab Hijau Kuning Frenz Kedah (HKF) Mohd Azmi Tan, sekiranya ia menjadi realiti, KDA FC memilki peluang sekali lagi memohon bagi mendapatkan khidmat Syafiq yang pernah dipinjamkan ke KDA FC pada awal musim lalu bagi menguatkan lagi jentera serangan skuad Sang Kenari.

"Kami sangat mengharapkan agar Syafiq Ahmad dapat sekali lagi kembali ke pangkuan Sang Kenari kerana ini destinasi tepat buat Syafiq kerana kesesuaian corak permainannya terutama di jentera serangan dapat membantu mengukuhkan pasukan bagi menghadapi baki musim 2023 ini.

"Ini kerana pasukan Kedah dilihat amat memerlukan seorang penyerang tempatan berkaliber serta mampu membantu memantapkan lagi barisan depan Kedah yang kini ditunjangi penyerang import bagi merobek gawang lawan.

"Sebagai penyokong, kami berharap pihak pengurusan KDA FC akan berusaha sebaik mungkin untuk kembali memohon untuk membawa penyerang tempatan yang berpotensi tinggi itu pulang ke Darul Aman sepertimana pernah dilakukan pada awal musim 2022 lalu," katanya.

Dalam pada itu Azmi mengakui khidmat Syafiq pasti menjadi rebutan kelab-kelab lain dalam Liga Malaysia jika dilepaskan JDT, memandangkan reputasi serta pengalaman yang ada pada pemain kelahiran Pulau Pinang itu sejak meninggalkan skuad Kedah pada 2018.

"Kami berharap semoga Syafiq akan berjaya dibawa pulang semula ke Kedah dan ini sedikit sebanyak akan menceriakan semangat penyokong yang amat mengharapkan kepulangannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 6:50 PM