MAJLIS pelancaran  Liga Futsal Melaka 2021 di Ayer Keroh. FOTO NAZRI ABU BAKAR
MAJLIS pelancaran Liga Futsal Melaka 2021 di Ayer Keroh. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar

Melaka: Lapan pasukan bakal bersaing merebut gelaran juara Liga Futsal Melaka 2021 anjuran Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) bermula 6 hingga 28 Mac depan.

Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai MUSA, Ridzuan Ahmad berkata, kejohanan yang julung kali dianjurkan itu bakal mempertaruhkan hadiah keseluruhan bernilai RM9,000.

Katanya, format liga sepusingan itu membabitkan dua kumpulan dengan juara serta naib juara setiap kumpulan bakal bertanding di separuh akhir dan seterusnya ke pentas final.

"Kejohanan mengikut format Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) itu bakal diadakan diadakan pada hujung minggu di Kompleks Sukan Komuniti Paya Rumput, Krubong.

"Ia mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tanpa kehadiran penonton dengan setiap pasukan yang beraksi sahaja dibenarkan berada di dalam kawasan perlawanan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media yang turut dihadiri Naib Presiden MUSA Noor Azman Rahman dan Datuk Khairi Anuar, Setiausaha Agung MUSA Ir Ahmad Roslee Hamzah serta Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United FC (MUFC) Datuk Mohd Saiful Mat Sapri.

Pasukan bertanding membabitkan Bertam Ulu FC (BUFC), SAMB FC, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Andalas FC, Sri Peringgit Bersatu, Perma FC, White Star dan Merlimau Pasir FC.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Februari 2021 @ 6:54 PM