PASUKAN Melaka mencatat sejarah layak ke Liga Futsal Kebangsaan Felda-FAM.
PASUKAN Melaka mencatat sejarah layak ke Liga Futsal Kebangsaan Felda-FAM.
Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Pasukan Melaka United (MU) layak ke Liga Futsal Kebangsaan FELDA-FAM 2015 selepas melepasi saingan kelayakan di KSL Gombak, Selangor baru-baru ini.

Skuad terbabit mara selepas muncul juara kumpulan D dengan menewaskan ATM 9-1, mengatasi FELDA (B20) 3-2 dan membelasah Perlis, 5-1 untuk mara ke Liga Futsal Kebangsaan 2015.

Penolong Pengurus MU Azman Rahman berkata, kejayaan itu satu sejarah selepas Melaka tidak pernah menyertai liga futsal kebangsaan walaupun kejohanan itu sudah memasuki tahun keenam penganjuran.

Katanya, komitmen tinggi pemain membolehkan MU menguasai saingan walaupun berdepan cabaran getir lawan.

Azman berkata, perancangan teliti Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) Datuk Mohd Yusof Mahadi yang juga pengurus futsal skuad kebangsaan membolehkan pasukan itu bersaing dengan lawan lebih berpengalaman sebelum layak buat julung kalinya.

“Sokongan peminat di Melaka diharap menjadi pemangkin pembentukan pasukan lebih mantap dalam misi muncul juara julung kali pada musim pertama penyertaan.

“Selain MU pasukan yang layak termasuk Kuala Lumpur, Perak, Sabah, KL Putra, FELDA United, MPSJ, Pahang, PKNS, Kedah, Terengganu, T-Team dan Selangor,” katanya.

Sementara itu, Mohd Yusof berkata, Melaka yang juga naib juara Kejohanan Futsal Jemputan FELDA, bakal menyediakan pasukan mantap menjelang saingan liga berkenaan.

Katanya, kejayaan ini juga melonjak imej bola sepak dan futsal Melaka.

Sementara itu, bagi kategori wanita pasukan yang layak ke liga itu adalah MPSJ, FELDA United, PKNS, Selangor, Kedah, Sabah, PDRM dan juga ATM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 January 2015 @ 7:28 AM