Pemain dari Divisyen Satu dan Dua Liga Melaka 2019 berpeluang terpilih membarisi skuad M3 MUSA. FOTO Nazri Abu Bakar
Pemain dari Divisyen Satu dan Dua Liga Melaka 2019 berpeluang terpilih membarisi skuad M3 MUSA. FOTO Nazri Abu Bakar
Nazri Abu Bakar


MELAKA City FC atau Melaka United FC (MUFC) antara dua pilihan nama oleh Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) kepada Persatuan Bolasepak Melaka (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berkaitan kelulusan menyertai Liga M3.

Setiausaha Agung MUSA, Farhan Ibrahim berkata, terpulang kepada FAM dan MFL berkaitan salah satu nama yang sesuai untuk didaftarkan.

Katanya, persatuan akan menerima salah satu yang diluluskan bagi membolehkan Melaka memiliki wakil di Liga M3 musim ini.

Beliau berkata, dia yakin MUSA akan mempunyai pasukan bertanding di liga berkenaan selepas ahli kelab gabungannya SAMB FC menarik diri daripada menyertai M3 musim ini.

"Dalam pada itu MUSA juga sudah memilih bekas pemain Sarawak, Pulau Pinang dan Melaka, Azizan Baba sebagai ketua jurulatih untuk M3 terbabit.

"Pengalaman Azizan yang juga bekas kapten pasukan Hang Tuah mampu menjadi aset berharga untuk membentuk barisan terbaik buat julung kalinya pada saingan berkenaan,ā€¯katanya.

Menurutnya, MUSA juga belum menetapkan sasaran untuk pasukan berkenaan serta barisan pemain yang bakal disenaraikan.

Farhan berkata, sebaik kelulusan persatuan akan membentuk segera pasukan dalam masa sama sudah terdapat bayangan pemain yang bakal tersenarai selain pemain dari Divisyen Satu dan Dua MUSA 2019 juga berpeluang dipilih.

Bagaimanapun, mereka perlu melepasi sesi ujian dan pemilihan terlebih dahulu sebelum diberi tempat dalam pasukan Hijau Putih.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 8:47 PM