Pemain Melaka United Alex Goncalves (kiri) menjaringkan dua gol menentang KL City.
Pemain Melaka United Alex Goncalves (kiri) menjaringkan dua gol menentang KL City.
Nazri Abu Bakar


Melaka: Dua gol penalti menerusi Alex Goncalves menebus kehilangan tiga mata buat Melaka United (MU) selepas mengatasi KL City 2-1 pada aksi Liga Super di Stadium Hang Jebat, Paya Rumput, sebentar tadi.

Skuad MU yang ditolak tiga mata semalam angkara gagal menjelaskan tunggakan gaji bagaimanapun beraksi dengan baik untuk menguasai babak pertama perlawanan.

Namun dua percubaan awal tuan rumah menerusi Jang Sukwon dan Sony Norde pada minit ke-10 dan m-12 tinggi melepasi palang gol pelawat.

Bagaimanapun, anak buah Bojan Hodak turut memiliki peluang menjaringkan gol namun percubaan Muhammad Hadin Azman pada minit ke-14 berjaya diselamatkan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat.

Apapun, peluang lebih baik buat MU mendahului hadir pada minit ke-36 menerusi tolakan Manuel Ott yang hanya berdepan penjaga gol Kevin Mendoza tetapi sekadar melambung tinggi.

Bersambung babak kedua skuad Hang Tuah terus bertindak agresif untuk mencari gol kemenangan ketika KL City lebih banyak bertahan dan sesekali mencuri ruang memburu jaringan.

Akhirnya, kubu mereka pecah juga menerusi sepakan penalti Alex Goncalves pada minit ke-51 untuk gol pertama perlawanan.

Penalti terbabit berpunca daripada tindakan Giancarlo Gallifuoco yang menjatuhkan Goncalves selepas penyerang dari Brazil itu cuba mengutip hantaran Ahmad Shamim Yahya.

MU terus mengganas dengan jaringan kedua sekali lagi menerusi penalti Goncalves pada minit ke-81 selepas bola terkena tangan pemain gantian Indra Putra Mahayuddin.

Namun anak buah Zainal Abidin Hassan sedikit cemas selepas Abdul Azim Rahim mencipta gol saguhati buat KL City pada minit ke-89 namun sudah terlambat untuk bangkit menyamakan kedudukan.

Kemenangan tipis itu, cukup menebus tiga mata yang hilang sekali gus menamatkan badi seri buat pasukan berkenaan dalam empat perlawanan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Mac 2021 @ 11:37 PM