Aksi pemain Melaka United (kiri) yang cuba menghalang pemain KDA FC, Tchetche Kipre di Stadium Hang Jebat Paya Rumput. FOTO Shafeeq Ahmad
Aksi pemain Melaka United (kiri) yang cuba menghalang pemain KDA FC, Tchetche Kipre di Stadium Hang Jebat Paya Rumput. FOTO Shafeeq Ahmad
Nazri Abu Bakar


Melaka: Kedah Darul Aman (KDA) FC berjaya meraih kemenangan bergaya selepas menewaskan Melaka United (MU) 3-1 di Stadium Hang Jebat Paya Rumput, sebentar tadi.

Malah pelawat lebih awal mencipta percubaan menerusi Rabih Ataya pada minit kedua namun rembatannya berjaya di tangkap kemas penjaga gol MU, Norazlan Razali.

Walaupun tanpa beberapa tonggak utama termasuk kapten pasukan Sony Norde namun Melaka berjaya memberi tentangan menerusi percubaan Manuel Ott pada minit ke-7 yang melepasi palang gol.

Kedah yang lebih banyak menguasai bahagian tengah sekali lagi mencuba menerusi Tchetche Kipre namun rembatan padunya tersasar ke kiri gawang tuan rumah.

Bagaimanapun, kehampaan itu berjaya ditebus Kpah Sherman yang meledak gol pertama menerusi sepakan penalti pada minit ke- 17 selepas bola terkena tangan Jang Suk Won.

Sepakan penalti terbabit disudahkan dengan sempurna Sherman ketika dia memilih menyepak bola ke sebelah kanan gawang Melaka untuk menewaskan Norazlan.

Namun, Melaka berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti disempurnakan Stefan Nikolic pada minit ke-37.

Penalti terbabit berpunca daripada tindakan Renan Alves yang menjatuhkan Ott selepas pemain itu berpeluang menjaringkan gol ketika dia hanya berdepan penjaga gol Shahril Saari.

Babak kedua menyaksikan usaha lebih agresif tuan rumah untuk memecah gawang pelawat namun percubaan Nikolic (m-49) tersasar diikuti seminit selepas itu tandukan Suk Won sekadar menggegar tiang gol KDA FC.

Sementara itu, anak buah jurulatih Aidil Sharin Sahak dilihat bingkas bangkit bagi menutup penguasaan awal tuan rumah namun percubaan menarik Sherman (m-59) berjaya ditepis keluar oleh Norazlan.

Namun Sherman berjaya juga meledak gol kedua pasukannya pada minit ke-62 selepas menolak masuk hantaran lintang Kipre untuk ceria di depan.

Malah skuad Kenari jelas licik pada penghujung babak kedua selepas Baddrol Bakhtiar merembat kencang gol ketiga pada minit ke-86 perlawanan untuk selesa meraih mata maksimum di laman lawan.

Keputusan itu memberi kelegaan buat Aidil selepas melihat tentangan hebat Melaka, sementara jurulatih Melaka Zainal Abidin Hassan perlu terus merangka taktikal terbaik dengan kekalahan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 12:11 AM