Penyerang TFC, Jordan Mintah (kanan) cuba merampas bola daripada pemain Melaka United pada aksi Liga Super. FOTO Ihsan TFC
Penyerang TFC, Jordan Mintah (kanan) cuba merampas bola daripada pemain Melaka United pada aksi Liga Super. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Skuad Terengganu FC (TFC) hampir 'menangis' sebelum Jordan Mintah muncul penyelamat untuk mengikat Melaka United FC 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, sebentar tadi.

Keputusan seri itu adalah keempat berturut-turut buat Melaka United manakala TFC berjaya mengelak rekod tanpa kalah di laman sendiri selepas empat perlawanan.

Tuan rumah dikejutkan menerusi jaringan seawal minit kedua dari sepakan penalti pemain import kelahiran Brazil, Alex Goncalves yang mudah memperdaya penjaga gol muda, Rahadiazli Rahalim untuk meletakkan pasukannya di depan 1-0.

Penalti itu diberikan pengadil, Noor Azriel Baharudin selepas bola hantaran lintang S Kumaahran dari sebelah kiri pintu gol tuan rumah terkena tangan pemain pertahanan, Muhamad Shahrul Nizam Ros Hasni.

Selepas jaringan itu, skuad Hang Tuah kendalian Zainal Abidin Hassan dilihat lebih bernafsu dan hampir menambah jaringan kedua menerusi rembatan Sony Norde pada minit ke-15 dan 16, namun berjaya ditampan penjaga gol.

Sepanjang babak pertama, skuad Penyu kerap ditekan selain serba tidak menjadi termasuk sukar untuk menembusi benteng pelawat yang diketuai import Korea Selatan, Sukwon Jang.

Sebaliknya pelawat lebih banyak mendominasi permainan dengan gerakan menarik dicipta tiga arkiteknya diketuai Manuel Gelito Ott, Ahmad Syamin Yahya dan S Kumaahran.

Hanya memasuki minit ke-33, TFC memperoleh percubaan pertama menerusi sepakan percuma Makan Konate yang hanya melintasi sebelah kanan pintu gol pelawat.

Rombakan kesebelasan utama yang dilakukan Nafuzi Zain berbanding aksi terdahulu dilihat kurang menjadi malah hampir terjerat.

Bersambung babak kedua, Nafuzi mengubah taktikal dengan membawa masuk dua arkitek baharu, Faiz Nasir dan Azalinullah Mohamed Alias serta pertahanan, Muhamad Arif Fadzillah Abu Bakar bagi menggantikan Hakimi Abdullah, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Muhamad Hafizal Alias.

Perubahan itu membuahkan hasil apabila Mintah yang mendapat umpanan daripada Dechi Marcel berjaya melepasi kawalan Razman Roslan sebelum melakukan sepakan leret pada minit ke-66 untuk menyamakan kedudukan 1-1 untuk berkongsi satu mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mac 2021 @ 11:41 PM