SULAIMAN (tengah) yakin kemampuan pasukan kendalian Zainal Abidin Hassan. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Melaka United
SULAIMAN (tengah) yakin kemampuan pasukan kendalian Zainal Abidin Hassan. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Melaka United
Nazri Abu Bakar

Melaka: Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) Datuk Seri Sulaiman Md Ali yakin pasukan Melaka United FC (MUFC) mampu menjadi antara pencabar utama dalam saingan Liga Malaysia 2021 walaupun berdepan kekangan bajet.

Menurutnya, bajet yang lebih rendah berbanding musim 2020 bukan penghalang buat pasukan terbabit untuk menjadi antara yang disegani menerusi perancangan Ketua Jurulatih Zainal Abidin Hassan.

"Bajet memang kurang sedikit disebabkan kita semua faham sepanjang pandemik Covid-19 ramai yang terkesan. Tapi bagi saya, kekurangan bajet sekali pun, pemain yang kita ada masih mantap.

"Maklumat lanjut mengenai pemain baharu dijangka akan diumumkan dalam seminggu lagi kerana masih ada beberapa perkara lagi perlu kita selesaikan," katanya.

Sulaiman turut memangku jawatan bendahari kehormat MUSA berikutan jawatan terbabit dikosongkan selepas Datuk Mohd Saiful Mat Sapri yang memegang jawatan itu dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif MUFC.

Malah Mohd Saiful juga berkata, walaupun bajet yang minimum, namun pembentukan pasukan biarlah digeruni dengan pemilihan pemain import serta pemain tempatan bakal menerima gaji yang setimpal dengan apa yang mereka akan peroleh.

Beliau berkata, amanah yang diberikan kepadanya akan dipikul dengan penuh dedikasi dan rasa tanggungjawab untuk membawa pasukan MUFC ke arah yang lebih baik.

Zainal Abidin Hassan pula jelas tidak bimbang dengan penyediaan bajet yang lebih rendah berbanding musim lalu dalam merangka strategi pasukan di pentas Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Sebaliknya, dia percaya pengurangan terbabit sama sekali tidak akan memberi kesan, sebaliknya yakin berupaya menyediakan barisan kesebelasan terbaik yang dapat memberi saingan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 6:53 PM