Penyerang Southampton, Danny Ings (kanan) dalam salah satu aksi Piala FA Inggeris berdepan Wolves. FOTO AFP
Penyerang Southampton, Danny Ings (kanan) dalam salah satu aksi Piala FA Inggeris berdepan Wolves. FOTO AFP
Agensi

London: Chelsea dilaporkan akan beralih tumpuan kepada pemain Southampton, Danny Ings sebagai alternatif jika tidak berjaya mendapatkan sensasi Borussia Dortmund, Erling Braut Haaland.

Hala tuju karier Haaland pada musim seterusnya menjadi tajuk perbualan hangat selepas aksi cemerlang dalam saingan Liga Juara-Juara berdepan Sevilla semalam, dengan Real Madrid dan Manchester City pasukan utama dikaitkan untuk mendapatkan khidmat penyerang itu.

Pemain kebangsaan Norway itu mungkin dilepaskan dengan £66 juta (RM373.1j) pada 2022 bagi klausa pelepasan kontraknya, tetapi dengan potensi perebutan menerusi bidaan tinggi bagi mendapatkan khidmatnya pada musim panas ini, Chelsea seharusnya melakukan pelan tambahan untuk memperkukuhkan barisan penyerangnya dalam senarai buruan mereka.

Menurut football.london, Thomas Tuchel sedang mencari penyerang baharu yang mampu memimpin skuad the Blues dengan mempertimbangkan bintang Southampton, Ings, yang turut mencuri perhatian.

Pengurus Saints, Ralph Hasenhuttl kekal optimis bahawa Ings akan melanjutkan kontrak di St Mary melebihi tahun 2022, namun potensi untuk beraksi di Liga Juara-Juara bersama Chelsea mungkin menjadi dorongan buat pemain berusia 28 tahun itu - yang turut dikaitkan dengan Man City - dalam perpindahan ke bandar utama.

Ings sudah meledak lapan gol dan melakukan tiga bantuan jaringan dalam 18 penampilan di Liga Perdana Inggeris.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 3:07 PM