Penyerang Brazil, Roberto Firmino (kanan) meraikan jaringan tunggalnya bersama rakan sepasukan ketika menewaskan Venezuela pada aksi kelayakan Piala Dunia. FOTO AFP
Penyerang Brazil, Roberto Firmino (kanan) meraikan jaringan tunggalnya bersama rakan sepasukan ketika menewaskan Venezuela pada aksi kelayakan Piala Dunia. FOTO AFP
AFP

Sao Paulo: Penyerang Liverpool, Roberto Firmino meledak gol penting ketika membantu Brazil mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Venezuela yang beraksi baik namun gagal memanfaatkan peluang dalam saingan kelayakan Piala Dunia hari ini.

Firmino memecah kebuntuan pada minit ke-66 di Sao Paulo, menjaringkan gol selepas pertahanan Venezuela, Darwin Machis cuba mengeluarkan bola lintang Everton Ribeiro namun sampai kepadanya.

Jaringan ke-16 Firmino dalam 47 penampilan buat skuad Selecao itu sudah cukup untuk mengekalkan rekod 100 peratus mereka dalam kelayakan Piala Dunia 2022.

Brazil sudahpun menewaskan Bolivia (5-0) dan Peru (4-2) dan berada di puncak carta kelayakan zon Amerika Selatan dengan Argentina di tangga kedua.

Venezuela, yang tewas dalam dua perlawanan awal kelayakan bertindak baik menahan asakan dan percubaan pemain Brazil untuk mengikat kedudukan tanpa jaringan pada separuh masa pertama di stadium Morumbi yang sepi tanpa kehadiran penonton.

Tuan rumah merasai ketiadaan pemain kreatif Neymar yang mengalami kecederaan, manakala serangan dicipta Firmino, Gabriel Jesus dan Richarlison, gagal mencari ruang melepasi pertahanan Venezuela pada babak pertama.

Richarlison dapat menjaringkan gol awal namun kegembiraan penyerang Everton itu tidak bertahan lama apabila Firmino didapati berada dalam keadaan ofsaid.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2020 @ 1:01 PM