Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer. FOTO AFP
Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer. FOTO AFP
AFP

OLE Gunnar Solskjaer mengakui Manchester United akan berdepan beberapa minggu yang sibuk pada pasaran perpindahan selepas kekalahan ketiga separuh akhir musim ini ketika Sevilla mara ke final Liga Europa dengan kemenangan 2-1 di Cologne.

United perlu membayar harga yang mahal ketika melakukan kesilapan di depan gol selepas penalti awal Bruno Fernandes meletakkan mereka di depan.

Suso pantas menyamakan kedudukan buat Sevilla selepas penjaga gol Bono bertindak cemerlang menghalang cubaan menjaringkan gol dan pemain gantian Luuk De Jong meneruskan aksi menakjubkan wakil Sepanyol itu dalam saingan Liga Europa sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan gol kemenangan 12 minit sebelum tamat.

United sudah mengesahkan tempat ke Liga Juara-Juara musim depan dengan menamatkan saingan di tangga ketiga Liga Perdana.

Namun tindakan terlalu bergantung kepada beberapa pemain utama sekali lagi terbukti mendedahkan kelemahan ketika Solskjaer tidak melakukan sebarang pertukaran hingga tiga minit sebelum tamat.

Kempen musim baharu Liga Perdana buat United akan bermula empat minggu lagi dan perbincangan setakat ini untuk menandatangani Jadon Sancho masih tergantung ketika Borussia Dortmund menegaskan pemain kebangsaan England itu akan kekal di Jerman musim depan.

"Sudah tentu kami perlu memperkuatkan pasukan. Ia akan membabitkan musim yang panjang," kata Solskjaer.

"Saya tidak boleh memberitahu bila atau perpindahan akan dijalankan tetapi kami akan melihatnya. Ia satu perubahan yang pantas.

"Kami harus pasti 100 peratus apabila melakukan perjanjian itu."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2020 @ 8:54 AM