EN Nesyri (kiri) meraikan gol kemenangan ketika berdepan Betis. FOTO EPA
EN Nesyri (kiri) meraikan gol kemenangan ketika berdepan Betis. FOTO EPA
AFP

Madrid: Jaringan menarik Youssef En Nesyri pada separuh masa pertama membantu Sevilla mencatat kemenangan 1-0 ke atas Real Betis untuk mengukuhkan kedudukan di kelompok empat terbaik La Liga.

Pemain antarabangsa Maghribi itu mengulangi pencapaian di Liga Juara-Juara ketika Sevilla disingkirkan Borussia Dortmund selepas meledak gol kemenangan pada minit ke-27.

Pasukan bimbingan Julen Lopategui bangkit dari dua kekalahan liga berturut-turut untuk memiliki kelebihan enam mata mengatasi pasukan tangga kelima, Real Sociedad, yang kalah 0-1 kepada Granada, tatkala kedua-duanya berebut mencari tempat ke Liga Juara-Juara.

Mereka sekarang ini ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu Atletico Madrid, dengan memiliki kelebihan satu perlawanan.

Betis, yang mencatat kemenangan empat kali berturut-turut dan hanya dibezakan enam mata dengan musuh setempat itu, mengakui bahawa lawan mereka sukar diketepikan di Ramon Sanchez Pizjuan.

Gol terhasil apabila hantaran jauh Jesus Navas disambut kemas En Nesyri yang kemudiannya memperdayakan penjaga gol, Joel Robles dan memasukkan ke dalam gawang melalui ruang sempit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mac 2021 @ 1:54 PM