AKSI antara United dan Dortmund yang menyaksikan kelab Bundesliga itu menang tipis 3-2. FOTO Reuters
AKSI antara United dan Dortmund yang menyaksikan kelab Bundesliga itu menang tipis 3-2. FOTO Reuters
AFP

Las Vegas: Borussia Dortmund menghukum kelalaian pertahanan Manchester United pagi tadi ketika gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menamatkan jelajah pramusim di Amerika Utara dengan kekalahan 2-3.

Jaringan separuh masa kedua oleh pemain gantian Dortmund, Youssoufa Moukoko membuktikan perbezaan dalam pertembungan yang menghiburkan di Stadium Allegiant, gelanggang pasukan NFL, Las Vegas Raiders.

Pengurus United, Erik ten Hag membariskan pemain simpanan dalam kesebelasan utama, meninggalkan nama besar seperti seperti Marcus Rashford, Bruno Fernandes dan pemain baharu Mason Mount di bangku simpanan.

Namun United berjaya memberikan tentangan kepada Dortmund pada separuh masa pertama, mendominasi untuk tempoh yang lama sebelum Diogo Dalot meletakkan Red Devils di depan pada minit ke-24 hasil rembatan jarak jauh.

Bagaimanapun, Dortmund menghidupkan permainan pada minit-minit akhir separuh masa pertama, dengan memperoleh dua gol dalam tempoh seminit melalui penyerang antarabangsa Belanda, Donyell Malen.

Gol pertama terhasil apabila pertahanan United gagal menghalang larian pantas Karim Adeyemi di sebelah kanan.

Walaupun cuba dihalang pertahanan United, Adeyemi masih mampu melakukan hantaran kepada Malen, yang menyambar bola untuk menjaringkan gol dari jarak dekat.

Malen meraih gol kedua seminit kemudian, kali ini menyambar bola dari kawalan pertahanan United, Victor Lindelof yang cuba membuat hantaran ke belakang.

United bernasib baik kerana tidak ketinggalan 1-3 pada pembukaan separuh masa kedua, apabila satu lagi kesilapan dilakukan pemain pertahanan, kali ini oleh Harry Maguire, membenarkan Sebastien Haller merembat ke gawang.

Penjaga gol United Andre Onana menyelamatkan dan kemudian menghela nafas lega apabila percubaan susulan Adeyemi tersasar keluar walaupun pintu gol terbuka luas.

United kembali menyamakan kedudukan pada minit ke-52, apabila penyerang Brazil, Antony melakukan rembatan rendah dari dalam kotak penalti selepas pemain veteran Dortmund, Mats Hummels gagal mengeluarkan bola.

Ten Hag melakukan pertukaran ketika aksi berbaki 30 minit dengan memasukkan Rashford untuk memberikan lebih banyak ancaman menyerang.

Bagaimanapun, Dortmund yang menjaringkan gol kemenagan, dengan pemain veteran Marco Reus bijak mencari Moukoko sebelum meledakkan jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 11:52 AM