PEMAIN Bayern meraikan gol kedua hasil jaringan  Coman (tengah). -Foto AFP
PEMAIN Bayern meraikan gol kedua hasil jaringan Coman (tengah). -Foto AFP
AFP

BERLIN: Jupp Heynckes mengharungi permulaan sempurna dalam penampilan keempat selaku jurulatih Bayern Munich hasil kemenangan besar 5-0 ke atas Freiburg di Allianz Arena, semalam.

Begitupun nasib berbeza dialami pencabar kejuaraan yang juga pendahulu Bundesliga, Borussia Dortmund apabila tewas 3-2 di laman sendiri kepada RB Leipzig.

Gol sendiri Julian Schuster meletakkan Bayern di depan seawal minit ketujuh sebelum Kingsley Coman melonjak tinggi untuk melepaskan tandukan bagi menggandakan kedudukan sebelum babak pertama berakhir.

“Kami mahu menunjukkan yang kami boleh terus melakukannya,” kata Thomas Mueller kepada Sky Sports. “Akan ada ramai orang memuji kami selepas ini tetapi kami hanya perlu terus bekerja dengan baik.”

Rembatan menarik Thiago Alcantara meletakkan juara Jerman itu mendahului 3-0 pada minit ke-63 sejurus mereka dinafikan penalti menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR).

Gol keempat dijaringkan penyerang berbisa Robert Lewandowski sebelum Joshua Kimmich melengkapkan kemenangan selesa Bayern.

LEWANDOWSKI (kiri) cuba lepasi kawalan pemain Freiburg. -Foto Reuters
LEWANDOWSKI (kiri) cuba lepasi kawalan pemain Freiburg. -Foto Reuters

“Pasukan beraksi dengan menakjubkan hari ini dan kami layak untuk menang,” kata Thiago.

Kemenangan menyaksikan Bayern kini ketinggalan dua mata di belakang Dortmund selepas pendahulu liga itu mencatat kekalahan pertama musim ini kepada Leipzig.

Kesilapan pertahanan Leipzig, Stefan Ilsanker membenarkan penyerang Pierre-Emerick Aubameyang meledak gol pertama Dortmund seawal minit keempat sebelum gol Marcel Sabitzer dan Yussuf Poulsen mengubah nasib pelawat.

“Ia perlawanan yang amat panas,” kata pemain tengah Dortmund, Gonzalo Castro. “Kami kucar kacir pada babak pertama dan dua gol yang kami lepaskan adalah terlalu mudah.”

Dortmund kemudian terpaksa beraksi 10 pemain selepas rehat apabila Sokratis Papastathopoulos mengasari Jean-Kevin Augustin dalam kotak penalti sebelum pemain Perancis itu memberikan jaringan ketiga Leipzig.

Pelawat turut beraksi 10 pemain selepas Ilsanker dilayangkan kad kuning kedua sebelum Aubameyang menjaringkan gol kedua menerusi penalti pada minit ke-64,

Andriy Yarmolenko mampu menyamakan kedudukan pada masa kecederaan namun Leipzig berjaya bertahan untuk membawa pulang tiga mata berharga dan menamatkan deretan 41 kemenangan berturut-turut Dortmund di Signal Iduna Park.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Oktober 2017 @ 1:40 PM