BARISAN pemain Bilbao meraikan kemenangan Piala Super Sepanyol. FOTO AFP
BARISAN pemain Bilbao meraikan kemenangan Piala Super Sepanyol. FOTO AFP
AFP

Madrid: Lionel Messi dibuang padang buat kali pertama sejak bersama Barcelona ketika Athletic Bilbao mengejutkan kelab Catalan itu 3-2 untuk memenangi Piala Super Sepanyol, hari ini.

Messi dilihat mengasari Asier Villalibre yang sebelum itu menjaringkan gol penyamaan minit ke-90 untuk menafikan kemenangan Barca.

Dua gol Antoine Griezmann pada awalnya dilihat sudah cukup untuk memastikan Barcelona menjulang trofi berkenaan namun Villalibre menyamakan kedudukan sebelum Inaki Williams menjaringkan gol kemenangan tiga minit dalam masa tambahan.

Messi mengetepikan masalah kecederaan paha untuk bermula di Seville dan perlu bermain sepanjang 120 minit ketika Barcelona cuba membawa permainan ke penentuan penalti.

MESSI gagal mencapai kata sepakat bersama Barcelona untuk menyambung kontrak dengan kelab berkenaan. FOTO EPA
MESSI gagal mencapai kata sepakat bersama Barcelona untuk menyambung kontrak dengan kelab berkenaan. FOTO EPA

Sebaliknya, pemain berusia 33 tahun itu hilang pertimbangan pada penghujung saingan apabila membalas cabaran Villalibre dengan mengasarinya menggunakan tangan.

Ia adalah kad merah pertama diraih Messi sepanjang 753 penampilan bersama Barcelona selain dua kad merah diterima ketika beraksi bersama Argentina pada 2005 dan 2019.

"Selepas sekian lama dalam bola sepak, Leo tahu dengan sempurna apabila dia cergas untuk bermain," kata jurulatih Barca, Ronald Koeman

"Kami mengadakan perbincangan dan dia berkata bersedia untuk diturunkan. Dia memberikan sumbangan yang maksimum."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 9:37 AM