AFP

Miami: Bintang Argentina Lionel Messi menandatangani kontrak dengan Inter Miami sehingga 2025, umum kelab Major League Soccer (MLS) itu awal pagi tadi.

Penyerang berusia 36 tahun terbabit yang membawa Argentina menjuarai Piala Dunia di Qatar tahun lalu akan diperkenalkan dalam acara khas esok dan dijangka beraksi bersama pasukan baharunya seawal Jumaat.

"Saya sangat gembira memulakan langkah seterusnya dalam karier bersama Inter Miami dan di Amerika Syarikat," kata Messi yang berpindah ke Paris Saint-Germain dalam satu kenyataan.

Ketibaan pemenang tujuh kali Ballon d'Or di Miami mencetuskan sensasi dan dijangka meningkatkan lagi populariti MLS dan sukan bola sepak di negara itu.

Messi juga diharap dapat mengubah nasib Miami yang menduduki tangga tercorot liga dengan hanya meraih lima kemenangan daripada 21 perlawanan.

"Ini peluang terbaik dan kita bersama meneruskan membina projek hebat," kata Messi. "Ideanya ialah bekerjasama untuk mencapai objektif yang ditetapkan dan saya teruja membantu pasukan di tempat baharu saya ini."

Messi dijangka tampil kali pertama pada Jumaat apabila Inter Miami menerima kunjungan Cruz Azul dalam aksi Piala Liga-Liga, kejohanan membabitkan skuad liga MLS dan Mexico.

Ketua jurulatih Inter Miami Gerardo 'Tata' Martino dua kali melatih Messi ketika bersama FC Barcelona pada musim 2013-14 dan skuad kebangsaan Argentina (2014-2016).

Messi mengetuai kejayaan Albiceleste di Piala Copa America 2021 dan Piala Dunia di Qatar serta meledak 103 gol dalam 175 penampilan bersama Argentina.

MESSI dan isterinya Antonela ketika berkunjung ke Arab Saudi tahun lalu.
MESSI dan isterinya Antonela ketika berkunjung ke Arab Saudi tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2023 @ 7:22 AM