Stadium Muhammad IV yang bakal di naik taraf dan dibaiki. FOTO Ihsan FB TRW Kelantan FC.
Stadium Muhammad IV yang bakal di naik taraf dan dibaiki. FOTO Ihsan FB TRW Kelantan FC.
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Hasrat penyokong bola sepak Kelantan menanti wajah baharu stadium keramat, Stadium Muhammad IV, Kota Bharu bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.

Ini berikutan kerja-kerja baik pulih dan naik taraf akan dilaksanakan segera sebaik mendapat kelulusan Unit Perancang Ekonomi (EPU), bulan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, pihaknya berharap kerja-kerja dapat disiapkan sebelum sepak mula saingan Liga Malaysia (Liga M) pada 27 Februari ini.

"Kita beri tumpuan untuk naik taraf lampu limpah, menukar kerusi penonton, naik taraf kawasan astaka dan grandstand dan mengecat stadium dengan warna baharu.

"Kita juga mungkin menukar warna stadium merah jambu kepada warna lain, sekarang hanya tunggu kelulusan EPU dengan mesyuarat terakhir dibuat November lalu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dah luluskan peruntukkan RM5 juta," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Wan Roslan berkata, KBS turut menambah peruntukkan RM2.5 juta bagi menaik taraf stadium berusia 50 tahun itu yang menjadi gelanggang rasmi pasukan bola sepak Kelantan, TRW Kelantan FC dan Kelantan United Football Club (KUFC).

Katanya, naik taraf stadium itu juga bagi persediaan Kelantan menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) yang ke 22 pada tahun 2026.

"Kerajaan negeri juga sudah melunaskan lebih RM10 juta bagi membayar pemilikan tanah dan pembersihan jalan untuk pembinaan stadium baharu di Bukit Merbau yang dijangka siap tahun sama dengan Sukma (2026)," katanya.

Beliau berkata, setakat ini stadium seluas 128 hektar itu dijangka mampu memuatkan 40,000 penonton iaitu dua kali ganda kapasiti penonton di Stadium Muhammad IV.

Kos pembinaan stadium dijangka menelan belanja RM250 juta yang turut dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2021 @ 7:58 PM