Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Kerajaan negeri meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyalurkan segera peruntukkan RM5 juta bagi kerja naik taraf Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, Wan Roslan Wan Hamat berkata, peruntukkan itu sebagaimana yang dipersetujui KBS yang meluluskan peruntukkan itu pada mesyuarat akhir November lalu.

Katanya, kelulusan itu bagi menaik taraf stadium berusia 50 tahun itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2021 dan persediaan menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) ke 22 pada 2026.

"Setakat ini kita belum peroleh lagi peruntukkan yang dijanjikan sedangkan kita sudah nak gerakkan kerja-kerja naik taraf di stadium terutamanya menumpukan pada kemudahan lampu limpah.

"Kita harapkan peruntukan akan segera diberikan kerana sepak mula perlawanan Liga Malaysia sudahpun bermula hari ini," katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Muhammad ke IV, hari ini.

Wan Roslan berkata, selain naik taraf lampu limpah, kerja membabitkan penambahan astaka dan tempat duduk penonton yang lebih selesa dan baik pulih prasarana sedia ada.

Katanya, kerajaan negeri tidak pernah menyisihkan sukan dalam pembangunan negeri malah turut menubuhkan Akademi As-Subahan bagi melahirkan perenang hebat di bawah kendalian Urus Setia Belia dan Sukan (U-BeS).

Katanya, program ini sedang melatih 20 pelajar berusia 13 tahun dengan mengadakan latihan harian di kolam renang sekitar Kota Bharu di bawah jurulatih KBS negeri.

"Ini menunjukkan walaupun kerajaan Kelantan dikenali negeri serambi Makkah, tetapi sukan adalah sunnah, malah soal pemakaian dan sebagainya kita tiada halangan untuk sukan dijayakan di negeri ini.

"Sudah pasti nanti kita ada sedia garis panduan pemakaian patuh syariah pada Sukma nanti namun itu boleh dibincangkan, soalnya kerajaan negeri sentiasa menyokong program-program sukan di negeri ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Mac 2021 @ 7:30 PM