BOBIE Farid berkata pihaknya turut mencadangkan supaya venue Liga Super musim 2024/2025 Perak FC kekal di Stadium Perak. FOTO Bernama
BOBIE Farid berkata pihaknya turut mencadangkan supaya venue Liga Super musim 2024/2025 Perak FC kekal di Stadium Perak. FOTO Bernama
BERNAMA

Ipoh: Pengurusan Perak FC mencadangkan agar penukaran rumput baharu jenis Zeon Zoysia atau Bermuda di padang Stadium Perak hanya dilaksanakan pada penghujung musim.

Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsudin berkata pihaknya menghargai usaha baik untuk menukar rumput stadium itu, namun terdapat beberapa kekangan yang akan dihadapi sekiranya kerja-kerja penukaran rumput dilakukan sekarang.

Beliau berkata pihaknya turut mencadangkan supaya venue Liga Super musim 2024/2025 Perak FC kekal di Stadium Perak dan bukannya di Stadium Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Manjung.

"Kami memang hargai tawaran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan juga Tunku Mahkota Johor (Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail) berkenaan penukaran padang, namun cadangan kami biarlah kita buat penukaran sistem saliran terlebih dahulu kerana ia amat penting dan kami boleh beraksi di Stadium Perak.

"Jika sistem saliran sahaja memang sempat tetapi jika tukar rumput sekali, maka Perak FC perlu menukar venue perlawanan ke Stadium MPM, tetapi saya dimaklumkan lampu limpah di stadium itu tidak menepati piawaian yang ditetapkan," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Bobie Farid berkata perlawanan pasukan yang menggunakan Stadium MPM akan diadakan pada sebelah petang, selain dijangka tidak mampu menarik ramai penyokong untuk datang memberikan sokongan.

Beliau berkata cadangannya itu sepatutnya dibangkitkan pada sesi perjumpaan dengan KBS, Majlis Bandaraya Ipoh dan Exco kerajaan negeri hari ini, namun terpaksa ditunda.

"Perak FC memang nak bangkitkan cadangan ini (naik taraf sistem saliran sahaja) sebab penukaran rumput akan mengambil masa hingga enam bulan, sekarang sudah nak masuk Mac memang tak sempat.

"Besarlah harapan kami agar kita lakukan naik taraf sistem saliran padang terlebih dahulu dan penukaran rumput kita lakukan pada penghujung musim. Bagi kami amat membazir jika MPM mengeluarkan kos naik taraf lampu hanya untuk digunakan separuh musim sahaja dan aura penyokong pun tetap berada di Stadium Perak," katanya.

Bobie Farid berkata kerja-kerja menaik taraf sistem saliran padang stadium hanya memakan masa sebulan untuk dilaksanakan, malah padang sedia ada masih berada dalam keadaan baik.

Baru-baru ini, media melaporkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Khairudin Abu Hanipah berkata Stadium MPM dijangka digunakan oleh pasukan Perak FC dalam aksi Liga Super 2024/2025 yang bermula Mei nanti.

Stadium berkenaan, katanya akan digunakan sehingga kerja-kerja naik taraf sistem saliran dan penukaran rumput di Stadium Perak selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2024 @ 6:51 PM