SUMAREH ketika ini beraksi bersama Police Tero. FOTO FB Police Tero
SUMAREH ketika ini beraksi bersama Police Tero. FOTO FB Police Tero
Izzali Ismail


Alor Setar: Pemain sayap licik kebangsaan, Mohammadou Sumareh difahamkan sedang dirisik oleh Kedah sebagai persiapan untuk saingan Liga Super dan saingan Piala AFC musim depan.

Perkara itu dimaklumkan sumber terdekat yang mengakui sedang berunding dengan pemain naturalisasi pertama negara itu yang difahamkan masih belum diikat oleh mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M) pada musim depan.

Turut difahamkan juga, pemain dikenali sebagai 'Keli Boy' itu menjadi rebutan beberapa kelab Liga M lain untuk mempertajamkan jentera serangan terutama bahagian sayap yang menjadi posisi utamanya.

"Kedah kini sedang merisik Sumareh sebagai persiapan untuk musim depan yang bakal mencabar. Buat masa ini masih diperingkat merisik.

"Namun bukan sahaja Kedah, tetapi beberapa kelab lain Liga M juga sedang berusaha keras bagi mendapatkan khidmat Sumareh kerana dia belum diikat oleh mana-mana pasukan lain untuk musim depan," katanya.

Sebelum ini, Sumareh dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan Selangor selepas kontrak yang ditawarkan oleh FAS kepada bekas pemain Pahang itu 'bocor' dan tersebar di laman media sosial serta mengundang berbagai persoalan.

Namun perkara itu reda selepas ada laporan menyatakan pemain sayap kebangsaan itu tiada dalam perancangan Red Giants musim hadapan sekali gus membuka peluang kepada pasukan lain untuk merebut pemain yang meledak enam gol dalam 19 penampilan bersama Harimau Malaya sejak 2018 itu.

Untuk rekod, pemain berusia 26 tahun kelahiran Gambia itu memulakan kariernya di Liga M dengan menyertai PDRM pada musim 2013 sebelum berhijrah ke Perlis pada 2016 dan kemudiannya menyertai skuad Tok Gajah Pahang bermula 2017.

Bagaimanapun, pada Setember lalu, dia beraksi di Liga Thailand bersama pasukan Police Tero dan hanya mengikat kontrak selama enam bulan bersama pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2020 @ 6:22 PM