HARDOUIN berharap kerugian berkenaan dapat dikurangkan jika penonton dibenarkan ke stadium tahun depan. FOTO AFP
HARDOUIN berharap kerugian berkenaan dapat dikurangkan jika penonton dibenarkan ke stadium tahun depan. FOTO AFP
AFP

Paris: Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) mencatat kerugian kira-kira €24 juta (RM116 juta) sejak pertengahan tahun ini berikutan pandemik Covid-19.

Perkara berkenaan diumumkan oleh Ketua Pengarah Eksekutif badan induk berkenaan, Florence Hardouin.

Hardouin berkata, mereka berharap dapat memulihkan kembali kerugian berkenaan jika penonton dibenarkan hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan awal tahun depan.

"Sejak 1 Julai, kita kerugian sebanyak 24 juta euro. Saya tidak fikir perkara itu akan bertambah teruk kerana Covid apabila terdapat sedikit harapan bahawa stadium kembali dikunjungi penyokong Mac depan," katanya.

Hardouin juga memperingatkan perlunya melihat perkara lain yang masih dilihat kurang jelas terutama mengenai konflik antara Liga Bolasepak Profesional (LFP) dan penyiar Sepanyol, Mediapro mengenai pembayaran hak penyiaran.

Pada 2018, Mediapro memperoleh 80 peratus hak penyiaran untuk aksi saingan utama Perancis, Ligue 1, dalam perjanjian bernilai €780 juta (RM3.7 bilion) setiap tahun antara 2020 hingga 2024.

Selepas melunaskan pendahuluan pertama, kumpulan berkenaan enggan membayar €172 juta (RM835 juta) yang masih berbaki pada Oktober, malah meminta agar nilai berkenaan dikurangkan akibat pandemik yang berlaku.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 10:37 PM