JOSEPH (kanan) akui penat untuk mengikut gerakan Maradona walaupun beliau hanya pembantu pengadil pada pertemuan Pilihan Selangor menentang Boca Juniors. FOTO NSTP
JOSEPH (kanan) akui penat untuk mengikut gerakan Maradona walaupun beliau hanya pembantu pengadil pada pertemuan Pilihan Selangor menentang Boca Juniors. FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jika individu lain pernah berjumpa dengan legenda bola sepak dunia Diego Maradona hanya sekali seumur hidup mereka namun ramai yang tidak mengetahui bahawa sebenarnya bekas pengadil Persekutuan Bolasepak Dunia (FIFA) Datuk George Joseph pernah melihat bintang Argentina itu secara bertentang mata dua kali iaitu pada 1979 dan 1982.

Pada perlawanan pertama, Joseph ditugaskan mengadili perlawanan Piala Dunia bawah 20 tahun pada 1979 di Tokyo, Jepun antara Argentina menentang Algeria sebelum diberikan tanggungjawab sama ketika pilihan Selangor XI menerima kunjungan Boca Juniors tiga tahun kemudian.

Lebih meninggalkan memori, pada pertemuan kali kedua menyaksikan Maradona masih lagi mengingati Joseph sekali gus pengalaman terbabit masih terpahat di ingatan walaupun sudah lebih empat dekad berlalu.

Pengalaman terbabit terus tersemat dalam memori Joseph berikutan individu yang menegurnya itu antara bintang bola sepak yang cukup terkenal dan digeruni dalam arena bola sepak beberapa tahun kemudian.

"Pada perlawanan kedua ketika Boca Juniors menentang pilihan Selangor XI, saya ada bersalaman dengannya dan mendiang menegur bahawa pernah melihat saya sebelum ini di Jepun.

"Kami berjabat tangan dan beliau gembira dapat berjumpa saya sekali lagi dan berpuas hati perlawanan berkenaan diadili oleh saya," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Joseph yang kini berusia 83 tahun berkata, Maradona seorang pemain yang lincah malah pada perlawanan menentang pilihan Selangor menyaksikan pemain tempatan cukup sukar untuk mengekang asakannya.

"Walaupun mendiang ketika itu tidaklah terkenal seperti sekarang namun kita boleh melihat keupayaannya yang lincah dan hebat terutama merobek benteng lawan.

"Saya ketika itu ditugaskan sebagai pembantu pengadil pun penat untuk mengikut gerakannya, apa lagi pemain pertahanan yang perlu menjaganya," katanya, yang bersara sebagai pengadil 31 tahun lalu.

Maradona yang terkenal dengan jaringan 'Hand of God' ketika menjaringkan gol menggunakan tangannya untuk menewaskan England 2-1 di Piala Dunia 1986 itu disahkan meninggal dunia awal pagi tadi.

Pemenang Piala Dunia 1986 itu meninggal pada usia 60 tahun meninggal dunia akibat serangan jantung.

Beliau juga baharu sahaja menjalani pembedahan otak awal bulan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 5:08 PM