EE Yi (kiri) dan Yew Sin mara ke separuh akhir BAC selepas menewaskan beregu nombor satu dunia, Fajar Alfian dan Rian Ardianto. FOTO BADMINTON PHOTO
EE Yi (kiri) dan Yew Sin mara ke separuh akhir BAC selepas menewaskan beregu nombor satu dunia, Fajar Alfian dan Rian Ardianto. FOTO BADMINTON PHOTO
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terus membara di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 apabila menempah slot ke separuh akhir sebentar tadi.

Lawan yang mereka tumbangkan di suku akhir bukan calang-calang iaitu pasangan nombor satu dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto ketika kedua-dua gandingan berentap di Dewan Tertutup Rashid bin Hamdan, Kelab Al Nasr dekat Dubai.

Yew Sin-Ee Yi yang diletakkan sebagai pilihan kelapan hanya mengambil masa 37 minit untuk mencatat kemenangan straight set 22-20, 21-15, sekali gus memperbaiki rekod pertemuan kepada 4-7.

Menanti mereka di separuh akhir esok ialah pemenang di antara wakil Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dan satu lagi pasangan Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana.

Kali terakhir beregu lelaki negara muncul juara kejohanan ini ialah pada 2007 melalui gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang menumpaskan rakan senegara di final, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong 21-14, 11-21, 21-12.

Tahun lalu, Yew Sin-Ee Yi terkandas di pusingan kedua selepas kalah kepada pasangan Indonesia, Pramudya Kusumawardana-Yeremia Rambitan 16-21, 21-18, 16-21.

Turut mara ke separuh akhir ialah beregu campuran profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang mengalahkan pasangan Indonesia, Rinov Rivaldi-Pitha Mentari 21-17, 15-21, 21-19.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 April 2023 @ 10:15 PM