SZE Fei (kiri) tidak terkesan dengan ejekan dan provokasi penonton tuan rumah malah ia membuatkan mereka lebih bersemangat untuk bermain. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
SZE Fei (kiri) tidak terkesan dengan ejekan dan provokasi penonton tuan rumah malah ia membuatkan mereka lebih bersemangat untuk bermain. FOTO Ihsan Persekutuan Badminton Dunia
Aida Adilah Mat
aida_adilah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Beregu muda negara Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei mempamerkan sikap matang dan semangat kesukanan yang tinggi biarpun berdepan dengan provokasi dan sikap tidak profesional penonton dan pengadil perlawanan ketika berlangsungnya perlawanan separuh akhir Terbuka Denmark, lewat malam tadi.

Kedua-dua mereka tetap meneruskan perjuangan biarpun berdepan dengan ejekan daripada penonton tuan rumah selain menjadi mangsa sikap tidak profesional pengadil perlawanan.

Beregu ke-26 dunia itu dikatakan menjadi mangsa kepada ketidakadilan pengadil perlawanan yang dilihat berat sebelah.Aksi yang jelas ketara itu menjadi bualan hangat peminat badminton tempatan di media sosial yang mengecam tindakan pengadil dan penonton tuan rumah.

Dalam aksi separuh akhir itu, Sze Fei-Nur Izzuddin tewas 11-21, 21-19, 18-21 kepada pilihan kelapan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.

Namun Izzuddin-Sze Fei menunjukkan kematangan dan semangat kesukanan yang tinggi apabila masih mampu tersenyum dan bersalaman dengan lawan selepas tamat perlawanan.

Bagi Sze Fei, dia bersama Izzuddin tidak terkesan dengan ejekan dan provokasi penonton tuan rumah malah ia membuatkan mereka lebih bersemangat untuk bermain.

"Kami okey saja. Tak terkesan pun sebaliknya terjua untuk bermain lebih baik di set kedua dan ketiga. Kami sedar kami bukan pemain pilihan jadi kami tiada apa yang perlu dirisaukan, hanya bermain sebaik mungkin," katanya akan terus fokus mencatat keputusan lebih baik di Terbuka Perancis, Selasa ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 5:10 PM