ARIF-ROY KING kecewa selepas terkandas di separuh akhir. -FOTO Asyraf Hamzah
ARIF-ROY KING kecewa selepas terkandas di separuh akhir. -FOTO Asyraf Hamzah
HASRAT Pearly-Thinaah ke pentas akhir tak kesampaian. -FOTO Asyraf Hamzah
HASRAT Pearly-Thinaah ke pentas akhir tak kesampaian. -FOTO Asyraf Hamzah
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Hasrat peminat negara untuk melihat beregu lelaki dan wanita mara ke final Masters Malaysia seperti edisi tahun lalu tidak kesampaian apabila Pearly Tan-M Thinaah serta Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King tumpas kepada lawan masing-masing di Axiata Arena sebentar tadi.

Pearly-Thinaah yang juga pasangan ranking ke-13 dunia tumpas di tangan pasangan ranking ke-26 dari Korea Selatan, Lee Yu Lim-Shin Seung Chan, 16-21, 11-21.

Mereka gagal mengulangi pencapaian menundukkan lawan yang sama Ketika di Masters Kumamota di Jepun, November tahun lalu.

"Bukan keputusan yang kami mahukan dan tidak seperti yang kami jangka. Lawan kami bermain sangat baik dan pukulan-pukulan mereka memberi tekanan kepada kami.

"Jadi, kami perlu perbaiki perkara ini dan perkemaskan strategi permainan kami menerusi perbincangan antara kami dan jurulatih untuk menghadapi kejohanan seterusnya," kata Thinaah.

Sementara itu, Pearly, berkata walaupun tewas tetapi masih ada perkara positif yang mana tahap komunikasi antara mereka di gelanggang kini lebih baik.

Pearly-Thinaah selepas ini akan mengalihkan fokus menghadapi Terbuka Singapura yang bermula Selasa ini diikuti Terbuka Indonesia di Jakarta, minggu depan.

"Kami hanya ada beberapa hari ini sebelum Terbuka Singapura. Jadi, kami harap boleh tampil aksi yang lebih konsisten," kata Pearly.

Dalam saingan separuh akhir beregu lelaki, Arif-Roy King terpaksa akur dengan kehebatan dan pengalaman beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen yang juga pilihan kedua kejohanan selepas kalah straight set 13-21, 19-21.

Arif-Roy King dilihat cuba untuk melakukan kebangkitan di pertengahan set kedua hasil bantuan sokongan padu penonton apabila berjaya mendahului saingan namun ia dihalang Astrup-Skaarup Rasmussen seterusnya akur dengan kekalahan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 7:37 PM