PEARLY (kiri) dan Thinaah mara ke pusingan kedua Terbuka Thailand. FOTO Badminton Photo
PEARLY (kiri) dan Thinaah mara ke pusingan kedua Terbuka Thailand. FOTO Badminton Photo
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Beregu wanita badminton negara, Pearly Tan-M Thinaah terus mempamer aksi konsisten apabila mara ke pusingan kedua Terbuka Thailand, hari ini.

Gandingan utama negara itu mengatasi cabaran pasangan Indonesia, Febriana Kusuma-Amalia Pratiwi 21-18 21-19 di pusingan pertama pada perlawanan selama 39 minit.

Kemenangan itu mungkin didorong kejayaan mereka menduduki ranking ke-10 dunia buat kali pertama menerusi kemaskini baharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pearly-Thinaah sememangnya konsisten sepanjang tahun ini dengan terbaru mengekalkan rekod bersih mencatat dua kemenangan berturut-turut ketika diturunkan menentang Denmark dan Thailand di saingan Piala Uber di Bangkok, baru-baru ini, meskipun skuad negara kandas awal.

Terdahulu, gandingan Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong tewas mudah 8-21 dan 16-21 kepada pilihan ketujuh dari Denmark, Kim Astrup-Anders Rasmussen di pusingan pertama.

Tiga pemain perseorangan negara, Cheam June Wei, Aidil Sholeh dan Soong Joo Ven pula gagal melepasi pusingan kelayakan.

June Wei terpaksa menarik diri selepas berakhir set pertama yang memihak lawannya, Max Weisskirchen dari Jerman 21-11 kerana mengalami kecederaan.

Aidil pula memberi tentangan sebelum tewas 18-21 21-16 21-12 kepada seorang lagi wakil Jerman, Kai Schaefer manakala Joo Ven gagal mengatasi pemain Denmark, Mads Christophersen apabila tewas 14-21, 21-23.

Hanya gandingan beregu profesional negara, Azryin Ayub-Lim Khim Wah berjaya melepasi pusingan kelayakan selepas menewaskan pasangan England, Rory Easton-Zach Russ 16-21 23-21 22-20.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mei 2022 @ 8:59 PM