TANG Jie (kanan) dan Ee Wei meraikan kejayaan mara ke suku akhir Terbuka Malaysia. FOTO ASWADI ALIAS
TANG Jie (kanan) dan Ee Wei meraikan kejayaan mara ke suku akhir Terbuka Malaysia. FOTO ASWADI ALIAS
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Sentiasa patuh pesanan jurulatih dan bersabar menjadi kunci kekuatan beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei apabila mengejutkan pasangan Indonesia, Rehan Naufal Kusharjanto-Lisa Ayu Kusumawati di pusingan kedua Terbuka Malaysia, hari ini.

Tang Jie-Ee Wei yang baru digandingkan dalam tempoh dua bulan menghadirkan kegembiraan buat peminat tempatan di Axiata Arena selepas mencatat kemenangan straight set 21-19, 21-16.

"Jurulatih (Nova Widianto) memberitahu kami bahawa pasangan lawan adalah bekas anak didik dia sebelum ini dan mereka memang konsisten dari segi pertahanan dan mengawal bulu tangkis.

"Bagaimanapun, dari segi kekuatan mereka sedikit kurang, jadi beliau berpesan kepada kami supaya tidak terlalu gopoh untuk mencari mata," kata Tang Jie.

Ujarnya, itulah kunci kepada kemenangan mereka hari ini selain sentiasa berhati-hati ketika melakukan servis.

"Saya tidak boleh cakap ia adalah faktor jurulatih, tapi beliau sangat berpengalaman dan profesional. Saya banyak berterima kasih kepadanya.

"Sepatutnya memulakan kerja pada Januari, namun datang lebih awal dua atau tiga minggu sebelum kejohanan," katanya.

Sementara itu, Ee Wei mengakui gembira dengan kemenangan yang dilakar ke atas pasangan nombor 12 dunia itu, namun dia tetap rasa perlu merendah diri.

"Sekarang kami harus mempersiapkan diri untuk aksi suku akhir. Kami akui setiap kali beraksi kami tidak simpan permainan sebenar, tambahan pula beraksi di laman sendiri, memang sentiasa berikan segala-galanya.

"Paling penting kami perlu kawal emosi di dalam gelanggang kerana saya dan Tang Jie adalah pemain yang hiperaktif. Nasib baik saya dapat mengawal emosi sebentar tadi," katanya.

Sementara itu, hasrat satu lagi beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing untuk melangkah ke suku akhir, tidak kesampaian apabila kalah kepada pilihan kelapan dari Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue 18-21, 21-13, 12-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 January 2023 @ 7:29 PM