TANG Jie (kanan) dan Ee Wei tewas di separuh akhir Terbuka Singapura, Sabtu lalu. FOTO FB BAM
TANG Jie (kanan) dan Ee Wei tewas di separuh akhir Terbuka Singapura, Sabtu lalu. FOTO FB BAM
Saiful Affendy Sapran


Kuala Lumpur: Jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto percaya anak buahnya, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berada pada prestasi terbaik ketika ini, sekali gus diharap dapat meneruskan aksi konsisten pada Terbuka Indonesia, bermula esok.

Tang Jie-Ee Wei mempamer aksi cemerlang pada Terbuka Singapura minggu lalu sebelum kandas di separuh akhir selepas tewas kepada beregu nombor tiga dunia dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino.

Di sebalik peningkatan prestasi itu, Nova tidak mahu meletakkan sasaran tertentu untuk Tan Jie-Ee Wei pada Terbuka Indonesia yang berstatus Super 1000.

"Bagi saya, keputusan di Terbuka Singapura adalah pencapaian yang baik dan berpeluang melangkah lebih jauh lagi sebenarnya. Bagi Terbuka Indonesia, saya tidak mahu bebankan mereka dengan sasaran tertentu.

"Apa yang paling penting adalah buat persiapan terbaik dan cuba untuk melangkah sejauh mungkin. Selain itu, kita perlu berikan fokus mengutip mata kelayakan ke Sukan Olimpik nanti.

"Perkembangan mereka setakat ini sangat baik, tetapi masih belum benar-benar konsisten. Apa yang positif adalah mereka sangat berbakat dan ada potensi untuk jadi salah satu beregu terbaik dunia," katanya yang menggalas tugas jurulatih beregu campuran negara sejak Disember tahun lalu.

Tang Jie-Ee Wei yang mula digandingkan November tahun lalu menampilkan aksi cukup konsisten musim ini apabila sudah meraih dua kejuaraan dengan memenangi Cabaran Antarabangsa (IC) Iran serta Orleans Masters.

Mereka bakal turun pada pusingan pertama Terbuka Indonesia bertemu satu lagi gandingan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito.

Kedua-dua gandingan itu pernah bertemu sekali pada tahun lalu di Cabaran Antarabangsa Bangladesh yang menyaksikan kemenangan memihak kepada pasangan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 7:53 PM