Beregu lelaki negara Teo Ee Yi-Ong Yew Sin
Beregu lelaki negara Teo Ee Yi-Ong Yew Sin
Oleh Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Hasrat beregu profesional negara Teo Ee Yi-Ong Yew Sin menebus kegagalan Terbuka Malaysia di Terbuka India tidak kesampaian apabila Ee Yi gagal mendapat visa kemasukan yang sah.

Ee Yi berkongsi perkembangan itu di dalam Instastory miliknya berkata, dia kini dalam pesawat untuk perjalanan pulang ke tanah air biarpun baru tiba di lapangan terbang India.

"Salah saya sendiri. Saya salah mohon E-Visa pakai pasport lama. So skrg (sekarang) tak boleh msok (masuk) India, diorang (mereka) cakap nak hantar sy (saya) balik.

"Jadi sekarang cuba buat buat emergency visa, jika tak boleh terpaksa withdraw (tarik diri) dari Terbuka India," kata Ee Yi pada perkongsian pertama Instastorynya kira-kira empat jam lalu.

Dia kemudiannya berkongsi perkembangan terkininya selepas 50 minit berlalu.

"Pertama sekali, terima kasih banyak-banyak kepada Kedutaan Malaysia kerana membantu saya dan sudah tentu kepada yang membantu saya dan bimbang tentang saya.

"Malangnya tiada apa yang boleh kami lakukan, mereka memutuskan untuk menghantar saya pulang dan kini saya sudah berada dalam penerbangan. Maaf gaisss (semua) itu adalah kesilapan saya dan terakhir saya terpaksa menarik diri untuk Terbuka India.

"Keadaan itu pasti memberi impak kepada Ee Yi-Yew Sin yang kini sedang memburu tempat bagi kelayakan Olimpik Paris Julai depan.

Tambahan pula mereka masih belum berada di kedudukan selamat apabila beregu nombor satu negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik sedang mendahului ranking empat terbaik Race to Paris.

Untuk layak ke Olimpik, Ee Yi-Yew Sin perlu berada dalam kelompok lapan terbaik bagi memastikan Malaysia mempunyai dua wakil di temasya terbesar itu.

Ketika ini, Ee Yi-Yew Sin berada di kedudukan ke-11 Race to Paris 2024 dan ketinggalan kira-kira 20,000 mata di belakang pasangan kelapan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.

Kejohanan pertama tahun ini iaitu Terbuka Malaysia yang baru melabuhkan tirainya, Ee Yi-Yew Sin beraksi hingga ke suku akhir selepas tewas kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 5:44 PM