EE Yi-Yew Sin (kiri) tidak konsisten terutamanya ketika melakukan pukulan dari tengah gelanggang. FOTO Ihsan Badminton Asia
EE Yi-Yew Sin (kiri) tidak konsisten terutamanya ketika melakukan pukulan dari tengah gelanggang. FOTO Ihsan Badminton Asia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Biarpun hanya muncul naib juara Kejohanan Badminton Asia (BAC), perkembangan aksi beregu profesional negara Teo Ee Yi-Ong Yew Sin wajar dipuji.

Permainan yang dipamerkan beregu negara menampakkan peningkatan apabila menjadi wakil tunggal negara mara ke pentas akhir sebelum tewas 21-16, 17-21, 19-21 kepada wakil India, Chirag Shetty-Sakwiksairaj Rankireddy.

Jurulatih Ee Yi-Yew Sin, Rosman Razak berkata, beliau tetap berbangga dengan mutu permainan mereka yang semakin matang yang mampu menjadi pemangkin semangat memburu tempat ke Sukan Olimpik Paris nanti.

"Pertama sekali saya ingin memohon maaf kepada semua penyokong kerana kami gagal merealisasikan kejuaraan ini dan terima kasih kepada sokongan anda sepanjang kejohanan ini.

"Masih ada beberapa kelemahan dikenal pasti selepas final itu. Kunci utama perlawanan pada perlawanan itu adalah aksi di depan jaring serta kualiti pukulan. Mereka tidak konsisten terutamanya ketika melakukan pukulan dari tengah gelanggang.

"Tapi apa yang saya bangga, mereka langsung tidak kenal erti putus asa dalam setiap perlawanan. Mereka akan berikan aksi 100 peratus setiap kali melangkah masuk ke gelanggang," katanya.

Kegagalan Ee Yi-Yew Sin itu menyaksikan Malaysia terus kempunan gelaran dalam beregu lelaki selepas kali terakhir dilakukan oleh gandingan Choong Tan Fook-Lee Wan Wah pada edisi 2007.

Bagaimanapun ia adalah pencapaian terbaik buat beregu di ranking kelapan dunia itu selepas hanya melayakkan diri ke suku akhir di Terbuka Malaysia dan Terbuka India selain meraih tempat ketiga di Terbuka Switzerland.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2023 @ 6:40 PM