YEW Sin (kanan) dan Ee Yi gagal layak ke Paris 2024. FOTO ARKIB NSTP
YEW Sin (kanan) dan Ee Yi gagal layak ke Paris 2024. FOTO ARKIB NSTP
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kekalahan gandingan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di pusingan pertama Seluruh England menyaksikan mereka gagal layak ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Perasaan kecewa jelas tergambar di wajah kedua-dua pemain profesional negara itu sejurus kecundang kepada gandingan China, Liu Yu Chen-Ou Xuan Yi 21-15, 21-23, 14-21 dalam perlawanan selama 65 minit.

Mereka sudah memberikan aksi terbaik dengan memenangi set pertama dan mendahului 20-17 pada set kedua, namun ditunjukkan jalan keluar seawal pusingan pertama yang menyaksikan ia adalah kekalahan kali keempat Yew Sin-Ee Yi di tangan pilihan kelapan itu selepas lima pertemuan.

Bagi jurulatih mereka, Rosman Razak, beliau tetap berbangga dengan barisan pemainnya selepas melalui fasa yang sukar ini.

"Kami kecewa dengan keputusan ini, namun sebagai pemain profesional mereka sudah cuba melakukan yang terbaik untuk menutup segala kekurangan dan sedaya mungkin untuk kelayakan kali ini.

"Kami ingin meminta maaf kepada semua di atas kegagalan untuk cuba melayakkan dua pasangan beregu lelaki negara ke Paris 2024.

"Sememangnya ia sangat sukar dengan situasi terlalu ramai pasangan yang berkedudukan dan bermatlamat sama seperti kami.

"Terima kasih tidak terhingga kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang sentiasa membantu barisan pemain profesional dalam misi ke Olimpik kali ini.

"Tanpa bantuan dan sokongan perubatan dan sains sukan yang diberikan kepada kami terutama semasa proses pemulihan kecederaan Ee Yi, sudah pasti kami tidak akan sampai hingga ke proses kelayakan terakhir," kata Rosman.

Tambah Rosman, perjalanan Ee Yi-Yew Sin tidak akan terhenti di sini dan akan berusaha untuk memperbaiki dan mengkaji segala kelemahan yang perlu dilakukan.

Kegagalan Ee Yi-Yew Sin itu bermakna, cabaran beregu lelaki negara di Paris 2024 hanya akan digalas beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Ini kerana, biarpun kutipan mata kelayakan ke Paris 2024 masih terbuka sehingga penghujung April ini, bekas juara dunia yang juga pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo 2020 itu berada di kedudukan selesa dalam ranking Race to Paris apabila menghuni ranking kelima.

Malah, Rosman meluahkan keyakinan Aaron-Wooi Yik mampu untuk membawa pulang pingat buat negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mac 2024 @ 1:54 PM